Tak perlu kerja dari rumah tapi majikan bimbang kluster tempat kerja

Tak perlu kerja dari rumah tapi majikan bimbang kluster tempat kerja

Beberapa kumpulan menyeru pematuhan SOP yang ketat susulan perniagaan dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh.

Kerajaan memutuskan untuk menarik balik dasar bekerja dari rumah bagi pekerja di negeri dan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan kehadiran 30% kakitangan.(Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Beberapa kumpulan bimbang berikutan keputusan menarik balik dasar bekerja dari rumah bagi pekerja di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan kehadiran 30% kakitangan, boleh mencetuskan kluster Covid-19 di pejabat dan tempat kerja.

Dasar bekerja dari rumah (WFH) untuk sektor awam dan industri ditarik balik mulai hari ini bagi membolehkan perniagaan, terutama kilang, beroperasi pada kapasiti penuh.

Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Syed Hussain Syed Husman yang menyambut baik langkah itu berkata, kebanyakan perniagaan bergelut untuk kekal bertahan.

“Keputusan menarik balik had 30% untuk kakitangan pengurusan bekerja di pejabat adalah suatu langkah positif. Majikan harus bertanggungjawab dan mengambil langkah-langkah perlu untuk memastikan tempat kerja bebas daripada jangkitan.

“Mereka juga boleh mempertimbangkan untuk membenarkan pekerja tertentu bekerja dari rumah, berdasarkan jenis pekerjaan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk memvaksinasi pekerja di sektor pembuatan untuk membendung penyebaran Covid-19.

“Walaupun elaun kerja tenaga penuh adalah berita baik buat pekerja dan ekonomi, kakitangan sektor pembuatan dan perkhidmatan tetap mudah terdedah.

“Langkah ke depannya adalah dengan memvaksinasi mereka menjelang fasa kedua, supaya kita dapat memastikan kelancaran operasi di sektor terbabit, yang tidak akan menimbulkan ancaman bagi ekonomi,” katanya.

Setiausaha MTUC Pulau Pinang, K Veeriah berkata, pihak berkuasa tidak sepatutnya menamatkan dasar kerja dari rumah sepenuhnya kerana ia sudah menjadi suatu ciri budaya kerja.

Katanya, pekerja perlu berhati-hati untuk kembali ke pejabat atau tempat kerja.

“Kita tidak boleh abaikan (dasar) kerja dari rumah hanya kerana beberapa orang buat tuntutan. Kita sepatutnya hanya mempertimbangkannya apabila situasi turun ke tahap yang terkawal.

“Saya sokong sepenuhnya permintaan Cuepacs supaya kerja dari rumah diteruskan sehingga angka Covid-19 reda,” katanya.

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa Putrajaya untuk membenarkan dasar kerja dari rumah diteruskan kerana angka Covid-19 masih dalam lingkungan empat digit.

Cuepacs berkata pilihan kerja dari rumah perlu dikekalkan sehingga imuniti kelompok dicapai.

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata ada baiknya kuota tenaga kerja 30% ditarik balik, kerana ia sukar dilaksanakan berikutan pelbagai hierarki dalam pelbagai jenis syarikat, terutama perusahaan kecil dan sederhana.

Katanya, sementara orang kembali bekerja dan lebih banyak yang diberi vaksin, jarak fizikal perlu menjadi kebiasaan untuk enam hingga 12 bulan mendatang.

Mengenai kapasiti penuh pekerja itu, Lee berkata Kementerian Kesihatan (KKM) perlu meningkatkan pengesanan kontak rapat untuk segera mengekang penyebaran Covid-19 di tempat kerja.

Jelasnya, kes kluster Teratai, yang menyaksikan lebih 7,000 orang dijangkiti, perlu dijadikan pelajaran.

“Kalau tidak, kita mungkin perlu kembali ke PKP, yang merupakan cara kasar mengawal penyebaran Covid-19, dan ekonomi akan menderita lagi. Jarak fizikal dan pemakaian pelitup muka mesti dipatuhi dengan ketat, walaupun program vaksin sedang berjalan,” katanya.

Lee berkata kes sporadik dijangka boleh berlaku kerana tenaga kerja akan berada pada kapasiti penuh dan sesi persekolahan yang sudah bermula.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Subramaniam Muniandy berkata sementara peraturan kerja dari rumah ditarik balik, tiada alasan untuk bergembira, kerana risiko dijangkiti Covid-19 di tempat kerja masih ada.

“Risiko jangkitan boleh meningkat apabila lebih ramai orang ditambah masuk ke tempat kerja. Oleh itu, SOP mesti dipatuhi dengan ketat,” katanya.

“Sekiranya jarak fizikal tidak dapat dipenuhi kerana kekangan ruang (tempat kerja), sebahagian kakitangan masih perlu bekerja dari rumah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.