
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, tindakan itu adalah satu tuntutan moral kerana peserta perhimpunan itu hanyalah menuntut pelaksanaan dasar yang telah diluluskan secara demokratik, sambil menambah, perhimpunan aman itu bukan suatu kesalahan.
Lim turut menyelar Ahli-Ahli Parlimen yang didakwa beliau membuat pusingan U berkenaan sokongan mereka terhadap Undi 18, seperti Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
“(Beliau) bukan hanya gagal membantah siasatan polis yang berlaku, sebaliknya turut mempertahankan penangguhan pelaksanaan Undi 18 dengan memberi alasan bahawa anak muda tidak cukup matang untuk mengundi,” kata Ahli Parlimen Bagan itu dalam kenyataan.
Beliau menuduh PAS hipokrit kerana parti tersebut bukan sahaja menerima ahli seawal usia 13 tahun, malah membenarkan mereka mengundi dalam mesyuarat.
“Pusingan U oleh Abdul Hadi bukan sahaja menunjukkan pemikiran ekstrem beliau tetapi juga sikap tidak adil dan dua darjat, bahawa perkara ini dibenarkan untuk PAS tetapi tidak untuk orang ramai,” kata Lim.
Lim berkata kerajaan Perikatan Nasional sudah berjanji untuk melaksanakan Undi 18 pada Julai tahun ini tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya tiba-tiba mengumumkan bahawa ia hanya boleh dilaksanakan selepas September 2022, dengan menggunakan wabak Covid-19 sebagai alasan.
Kata beliau, golongan belia dikira cukup matang untuk memandu pada usia 18 tahan, dengan sebilangannya dibenarkan untuk berkahwin di bawah usia tersebut. Ini bermaksud mereka juga sudah cukup matang untuk mengundi pada usia itu, tambah beliau.
Lim berkata, 90% daripada 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam menetapkan usia pengundi pada 18 tahun, yang bermakna, alasan Hadi bahawa belia pada usia tersebut “tidak cukup matang” tidak boleh diterima.
Seramai 211 Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan hadir di Dewan Rakyat dan mengundi menyokong dasar Undi 18 ketika Parlimen bersidang pada 16 Julai 2019, dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Mohamad Arif Md. Yusof telah meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun.
November lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa pelaksanaan usia layak mengundi baharu dan pendaftaran pengundi automatik dijangka bermula selewat-lewatnya Julai.
Minggu lalu, kira-kira 100 penunjuk perasaan berarak menuju Parlimen, tetapi berhenti di Padang Merbok dan duduk “bersila” di atas jalan selama 18 minit.
Antara mereka yang disoal siasat polis berhubung pembabitan dalam perhimpunan tersebut adalah Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), Maszlee Malik (Simpang Renggam), selain aktivis veteran Ambiga Sreenevasan.