KKM akan siasat punca ramai belum daftar vaksin

KKM akan siasat punca ramai belum daftar vaksin

Sehingga kini, hanya 7.6 juta daripada 26.7 juta orang yang disasarkan KKM untuk menerima vaksin sudah mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera.

KKM berharap bilangan mereka yang mendaftar akan meningkat sebelum fasa kedua program itu bermula 17 April ini bagi mengelakkan kesulitan di fasa akhir.
SEGAMAT:
Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengenal pasti faktor yang menyebabkan sebahagian besar rakyat belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19, kata Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba.

Beliau berkata, KKM menyasarkan 70% hingga 80% penduduk Malaysia mendaftar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, namun sehingga kini hanya 7.6 juta daripada 26.7 juta orang mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera.

“KKM belum berpuas hati, kemungkinan besar KKM akan mencari punca sebab apa mereka tidak daftar. Adakah kempen tidak cukup kuat atau mereka takut atau mahu tunggu dan lihat? Ada juga yang dakwa vaksin begitu begini.

“Atau adakah mereka tidak dapat liputan aplikasi MySejahtera di kawasan masing-masing atau kurang pengetahuan? Setakat ini, jumlah tujuh juta (yang berdaftar) masih rendah,” katanya selepas merasmikan Program Malaysia Prihatin Vaksinasi Covid-19 “Lindung Diri, Lindung Semua” Peringkat Daerah Segamat.

Beliau berkata, KKM berharap bilangan mereka yang mendaftar akan meningkat sebelum fasa kedua program itu bermula 17 April ini bagi mengelakkan kesulitan di fasa akhir.

Katanya, pendaftaran secara manual di pejabat kesihatan, klinik kesihatan, hospital kerajaan dan swasta juga dibuka bagi memudahkan penduduk yang tidak mempunyai kemudahan teknologi dan capaian internet untuk mendaftar.

Dalam pada itu, beliau berkata, keberkesanan vaksin sudah terbukti, apabila statistik petugas kesihatan yang dijangkiti Covid-19 menunjukkan penurunan.

Katanya, sebanyak 6,087 kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan petugas kesihatan direkodkan sehingga semalam dengan bilangan jururawat dicatatkan tertinggi, iaitu 2,276 kes atau 37%, diikuti pegawai perubatan dengan 816 kes atau 13%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.