
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, ini membabitkan kolej kediaman Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu, iaitu Kolej Kediaman Tun Mustapha, Kolej Kediaman Tun Fuad, dan Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae.
Sehingga kini, daripada 133 ujian saringan Covid-19 yang dijalankan Kementerian Kesihatan di lokaliti ini, sebanyak 19 kes positif dikesan.
Manakala, di sebuah lagi lokaliti yang dikenakan PKPD bagi tempoh sama, iaitu Kampung Pagalungan Ansip di Keningau, 146 ujian saringan telah dijalankan KKM, dengan 15 kes positif direkodkan.
Kampung Kalindukan di Nabawan juga akan dikenakan PKPD selama 14 hari mulai esok, selepas lapan kes positif dikesan daripada 99 ujian saringan.
Ismail turut memaklumkan PKP di daerah Keningau, Sabah yang dijadualkan tamat esok, akan dilanjutkan selama 14 hari lagi hingga 18 April.
“KKM turut mengesahkan wujud beberapa kluster baharu dan masih berlaku peningkatan kes dalam komuniti dengan jumlah kes aktif dalam tempoh 14 hari adalah sebanyak 148 kes,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, kerajaan akan menamatkan PKPD di Taman Guru, Kuantan, Pahang, esok, iaitu empat hari lebih awal daripada tarikh asal 9 April.
“KKM mengesahkan baki kes aktif di lokaliti ini adalah terkawal serta tiada lagi sampel saringan yang menunggu keputusan,” kata Ismail.
Berkenaan kesalahan ingkar SOP PKP, Ismail berkata, polis semalam menahan 248 individu, dan daripada jumlah itu, 228 dikompaun, tiga direman dan 17 dijamin.
Kesalahan paling tinggi direkodkan adalah aktiviti di pusat hiburan (205) dan gagal mengamalkan penjarakan fizikal (17).