Polis marin beri amaran sita bot, batal lesen jika ulang kesalahan tangkap ikan

Polis marin beri amaran sita bot, batal lesen jika ulang kesalahan tangkap ikan

Sebuat bot pukat tunda dikesan mengulangi kesalahan menangkap ikan di zon larangan di perairan laut Pulau Sakar, Lahad Datu.

Sebuah bot pukat tunda didapati menangkap ikan di zon larangan di perairan laut Pulau Sakar, Lahad Datu semalam. (Gambar Facebook)
LAHAD DATU:
Sebuah bot pukat tunda bakal berdepan tindakan sita, selain lesen dibatalkan, selepas dikesan mengulangi kesalahan menangkap ikan di zon larangan, kata Pasukan Polis Marin (PPM).

Menurut laporan Harian Metro, bot berkenaan didapati melakukan kesalahan melanggar syarat lesen perikanan itu di perairan Laut Pulau Sakar di sini, semalam.

Penolong Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Lahad Datu, Sudirman Latip Karim dipetik sebagai berkata, bot nelayan tempatan itu dikesan berada di kedudukan kurang dua batu nautika dari pesisir pantai, ketika rondaan Op Benteng Covid-19.

“Hasil pemeriksaan mendapati ia bot sama yang melakukan kesalahan serupa sebelum ini. Susulan itu bot dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan kompaun RM500 kepada pemilik kapal bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan kedua RM1,000 dan kesalahan ketiga RM1,500.

Sudirman berkata, lesen perikanan boleh dibatalkan dan bot disita jika kesalahan sama diulang.

Beliau meminta orang awam melaporkan sebarang pelanggaran undang-undang kepada pihaknya dengan menghubungi markas operasi di talian 013-9808084.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.