
Menurut laporan Berita Harian, kanak-kanak berkenaan dilaporkan bermain di tepi pantai dekat Jalan Felda Sahabat 16, Desa Kencana kira-kira 10 pagi tadi sebelum tiba-tiba disambar haiwan berkenaan.
Pemangku Ketua Balai Bomba Lahad Datu, Mohd Hamka Mustamin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.27 pagi melalui talian MERS999.
Katanya, mangsa yang identiti penuh belum diperolehi dilaporkan disambar buaya ketika bermain di tepi pantai sebelum diseret ke dalam laut.
“Sepasukan anggota dari BBP Lahad Datu telah digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat itu sedang giat dilakukan dengan bantuan pihak polis.
Menurutnya, pasukan penyelamat juga berdepan cabaran berikutan jarak lokasi kejadian yang agak jauh, iaitu kira-kira 101km dari balai bomba, selain keadaan persekitaran yang berisiko.