
Rakaman video yang tular awal hari ini menunjukkan lumpur melimpahi Jalan Abang Haji Openg, berpunca daripada pembinaan pejabat baharu Jabatan Landskap Negara, selain kerosakan pada dinding zink di tapak itu akibat angin kencang.
Jabatan Bomba Kuala Lumpur berkata anggota bomba yang dihantar ke lokasi sedang memantau keadaan serta membersihkan longkang yang tersumbat.
“Kami menyerahkan tindakan lanjut kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya kepada FMT.
FMT cuba mendapatkan komen daripada DBKL.
Presiden persatuan penduduk, Abdul Jabar Junid berkata beliau dimaklumkan oleh kontraktor projek dan pejabat Parlimen Segambut bahawa kerja pembaikan akan dimulakan secepat mungkin.
Projek itu sebelum ini mendapat bantahan penduduk kerana melibatkan pembersihan sebahagian kawasan hutan di Bukit Kiara.
Satu sesi dialog pada 18 Julai antara penduduk dan Jabatan Landskap Negara menjadi tegang apabila penduduk mendakwa kebimbangan mereka terhadap kesan alam sekitar projek tersebut tidak diendahkan.
Sebahagian penduduk turut menyuarakan kebimbangan bahawa penebangan hutan boleh menyebabkan tanah runtuh, dan mendakwa tiga kejadian tanah runtuh telah berlaku di kawasan itu.