Gempa lemah landa Kundasang

Gempa lemah landa Kundasang

Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah berkata pemantauan awal di sekitar pekan Ranau dan Kundasang tidak menemui sebarang kerosakan setakat ini.

gempa bumi
Jabatan Meteorologi berkata gempa lemah itu berlaku di koordinat 6.1 darjah utara dan 116.7 darjah timur, yang berpusat 8km di barat laut Ranau dengan kedalaman 10km. (Gambar MetMalaysia)
PETALING JAYA:
Satu gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 dikesan di Kundasang, Sabah pada 3.02 pagi tadi.

Jabatan Meteorologi dalam kenyataan berkata, gempa itu berlaku di koordinat 6.1 darjah utara dan 116.7 darjah timur, yang berpusat 8km di barat laut Ranau dengan kedalaman 10km.

Katanya, gegaran mungkin dirasai di sekitar Ranau.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah berkata, pemantauan awal di sekitar pekan Ranau dan Kundasang tidak menemui sebarang kerosakan setakat ini.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ranau menjalankan rondaan di premis kedai, bangunan kerajaan serta kawasan tumpuan awam pada 6.35 pagi tadi.

“Hasil makluman orang awam dan pemerhatian di lokasi mendapati tiada kerosakan struktur dilaporkan, keadaan terkawal serta selamat, selain tiada kecederaan atau insiden susulan direkodkan,” katanya menurut Berita Harian.

JBPM Sabah berkata, pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa dan ia bersedia menghadapi sebarang kemungkinan gempa susulan.

Ia menasihatkan orang ramai kekal tenang dan berwaspada, serta elak memasuki bangunan jika terdapat keraguan terhadap struktur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.