Lelaki warga emas maut dipijak gajah

Lelaki warga emas maut dipijak gajah

Mangsa berusia 69 tahun disahkan meninggal dunia akibat cedera parah, termasuk patah tulang kaki betis dan tulang rusuk.

hospital lahad datu
Mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Lahad Datu dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, kata Timbalan Ketua Polis Lahad Datu Jimmy Panyau. (Gambar Wikimedia Commons)
PETALING JAYA:
Seorang warga emas maut akibat dipijak gajah liar dalam kejadian di Jalan Tungku, Lahad Datu petang semalam.

Lelaki berusia 69 tahun itu disahkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah, termasuk patah tulang kaki betis dan tulang rusuk.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa bersama anak lelakinya berusia 38 tahun sedang menutup pagar kebun sebelum pulang dari kawasan ladang kelapa sawit berkenaan.

Menurut Timbalan Ketua Polis Lahad Datu, Jimmy Panyau, gajah terbabit muncul secara tiba-tiba lalu menyerang kedua-dua mangsa.

“Mangsa tidak sempat melarikan diri sebelum dipijak haiwan berkenaan. Anak mangsa yang berjaya menyelamatkan diri turut menjerit meminta bantuan.

“Dia cuba mengalih perhatian gajah bearkenaan sebelum haiwan itu beredar dari lokasi,” katanya dalam kenyataan, menurut Harian Metro.

Beliau berkata, anak mangsa kemudian membawa bapanya ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

“Hasil siasatan mendapati gajah terbabit adalah gajah tunggal dan bukan bergerak secara berkumpulan.

“Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR). Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat di Balai Polis Tungku atau hadir ke IPD Lahad Datu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.