Undian semula presiden MTUC Jun ini

Undian semula presiden MTUC Jun ini

Ini berikutan keputusan undian seri membabitkan dua calon pada pemilihan tahun lalu.

Empat kesatuan sekerja berkata, persidangan perwakilan khas MTUC yang akan diadakan esok tidak menepati perlembagaan pertubuhan itu.
SUBANG JAYA:
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini mengumumkan akan mengadakan pemilihan baharu jawatan presiden pada 6 Jun berikutan pemilihan sebelum ini yang berakhir dengan jumlah undi seri.

Timbalan Presiden MTUC Mohd Effendy Abdul Ghani yang juga presiden Kesatuan Pekerja Perkeranian Pos Malaysia Semenanjung (UPCW) berkata semua calon yang bertanding pada pemilihan pada September lalu akan kekal bertanding.

Timbalan Presiden MTUC Mohd Effendy Abdul Ghani.

Calon bagi jawatan itu adalah penyandang Abdul Halim Mansor dari Kesatuan Kebangsaan Pekerja Industri Petroleum dan Kimia (NUPCIW); Mohd Jafar Abd Majid dari Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Telekomunikasi Semenanjung Malaysia (NUTE); dan Nor Azlan Yaacob Kesatuan Pekerja Industri Perkayuan (TEU).

Tahun lalu, pemilihan bagi jawatan presiden terikat selepas Halim dan Jaafar masing-masing mendapat 136 undi manakala Nor Azlan mendapat 102 undi.

“Ketika ini, MTUC tidak mempunyai presiden,” kata Effendy pada sidang media di Wisma MTUC.

Effendy berkata, buat masa ini semua kenyataan MTUC dan surat akan dikeluarkan oleh setiausaha agung Kamarul Baharin Mansor.

“Ini bagi mengelakkan ahli MTUC daripada mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan pandangan kongres,” katanya.

Kamarul dipilih sebagai setiausaha agung tahun lalu selepas menewaskan penyandang, J Solomon dalam persaingan tiga penjuru.

Kamarul memperoleh 143 undi; Gopal Kishnam Nadeson dari Kesatuan Kebangsaan Pekerja Perusahaan Alat-alat Pengangkutan dan Sekutu (NUTEAIW) mendapat 132 undi; manakala Solomon Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) memperoleh 98 undi.

Sementara itu, mengenai isu vaksin Covid-19, MTUC menggesa kerajaan untuk memberikan keutamaan kepada pekerja dari sektor pembuatan, pembinaan, automotif dan perkhidmatan untuk menerima vaksin pada fasa kedua program imunisasi Covid-19 kebangsaan, yang akan bermula pada 19 April dan dijangka selesai pada Ogos.

Katanya, pekerja dari empat sektor itu adalah berisiko tinggi mendapat jangkitan Covid-19 dari kluster tempat kerja berbanding sektor lain.

Ketika ini, fasa kedua vaksin meliputi mereka yang berisiko tinggi mendapat jangkitan seperti warga emas, golongan kelainan upaya dan mereka yang menghidap penyakit kronik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.