Apandi nafi gagal ambil tindakan siasatan 1MDB

Apandi nafi gagal ambil tindakan siasatan 1MDB

Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali berkata, siasatan terhadap derma RM2.6 bilion diberikan kepada Najib Razak terjejas kerana saksi penting hilang, bukan disebabkan beliau gagal bertindak.

(Kiri ke kanan) Jho Low, Nik Faisal Ariff Kamil dan Jasmine Loo antara saksi utama yang cuba dikesan SPRM serta polis, kata Mohamed Apandi Ali.
KUALA LUMPUR:
Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa siasatan 1MDB mengambil masa lama untuk diselesaikan kerana agensi penguatkuasaan tidak dapat mengesan saksi penting kes itu.

Katanya, saksi utama seperti bekas ketua pegawai pelaburan Nik Faisal Ariff Kamil, bekas penasihat undang-undang Jasmine Loo, bekas CEO Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho (Jho Low) hilang ketika itu.

“Saya mendesak polis, SPRM untuk mengesan saksi yang hilang ini menerusi Interpol.

“Adalah tidak benar malah satu penghinaan untuk mengatakan saya tidak mengambil sebarang tindakan,” katanya dalam soal balas oleh peguamnya M Visvanathan.

Apandi mengulas cadangan peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili veteran DAP, Lim Kit Siang. Bekas peguam negara itu memfailkan saman terhadap Lim berhubung kenyataannya pada 2019 bertajuk “Dangerous fallacy to think Malaysia is on the road to integrity” (Bahaya jika anggap Malaysia semakin berwibawa).

Beliau mendakwa, kenyataan Lim itu menggambarkannya sebagai seorang yang tidak bermoral dan tidak beretika, tiada kewibawaan selain mengamalkan berat sebelah ketika memegang jawatan peguam negara.

Katanya, SPRM juga mendapatkan bantuan Interpol untuk menjejaki individu dipercayai mempunyai hubung kait dengan Low, iaitu Tan Kim Loong, bekas pengarah eksekutif 1MDB Tang Keng Chee dan Geh Choh Heng.

Shahrol dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan 1MDB terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.

Apandi memberitahu mahkamah, Pejabat Peguam Negara tidak akan mendakwa sesiapa tanpa bukti mencukupi.

“SOP ini saya warisi daripada peguam negara sebelum saya (Abu Talib Othman). Sebelum memfailkan sebarang tuduhan, kami mesti memiliki bukti sekurang-kurangnya 95% untuk memastikan sabitan,” katanya.

Apandi berkata, sehingga 4 Jun 2018 iaitu apabila beliau meninggalkan Pejabat Peguam Negara, siasatan berkaitan 1MDB masih belum dilengkapkan.

Terdahulu hari ini, peguam Ramkarpal Singh yang juga mewakili Lim mempersoal Apandi mengenai satu kenyataannya pada 2016 selain yang menyatakan berpuas hati SPRM telah menemui serta merekodkan kenyataan saksi, termasuk orang yang menderma RM2.6 bilion kepada bekas perdana menteri Najib Razak.

Sebaliknya, Ramkarpal berkata SPRM tidak merekodkan kenyataan penderma berkenaan, Putera Saud Abdulaziz Al-Saud dalam siasatan kes “derma” RM2.6 bilion terhadap Najib.

Ramkarpal: Jadi delegasi SPRM gagal merekodkan kenyataan berhubung empat surat derma dikatakan daripada Saud?

Apandi: Ya, saya difahamkan Putera Saud enggan menemui sesiapa.

Ramkarpal kemudian menyoal Apandi sama ada pejabat SPRM menerima sebarang dokumen perbankan bagi menyokong dakwaan bahawa RM2.6 bilion itu adalah derma.

Apandi berkata, wakil Putera Saud “mengesahkan” RM2.6 bilion itu adalah derma.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Azimah Omar bersambung esok dengan keterangan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.