
Bercakap di webinar bertajuk “Recall Elections: A Solution to Party-Hopping in Malaysia?” (Pilihan Raya Semula: Penyelesaian Isu Lompat Parti di Malaysia?) oleh Bait Al Amanah, veteran Umno Shahrir Abdul Samad berkata parti itu patut mensasarkan untuk menjadi lebih “moden dan demokratik.”
“Saya percaya Umno perlu melangkah (ke depan),” kata Shahrir yang juga pengerusi Bait Al Amanah.
“Kini ada peluang untuk Umno memisahkan kuasa atau kedudukan presiden parti daripada menjadi ketua kerajaan. Saya rasa peluang ini diberikan kepada Umno hari ini.”
Shahrir menambah, menjadi pembangkang selama 22 bulan bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) menunjukkan Umno mampu hidup walaupun tidak memiliki manfaat sebagai parti pemerintah.
Beliau menekankan perlunya membuang elitisme politik dan memfokuskan terhadap perspektif umum, terutama apabila wakil rakyat mereka memilih melompat ke parti lain.
Sementara itu, ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Abdul Rahman Dahlan menyifatkan kemelut politik kini sebagai “titik perubahan” untuk parti itu menyertakan pembaharuan politik serius dalam manifesto untuk pilihan raya umum akan datang (PRU15).
Bekas menteri persekutuan itu sempat berseloroh bahawa partinya tidak biasa memperkenalkan pembaharuan, malah, katanya, pemimpin “tergesa-gesa untuk mengetahui apakah perjanjian keyakinan dan pembekalan” ketika Saarani Mohamad dilantik sebagai menteri besar Perak.
Rahman turut menceritakan bagaimana beliau ditugaskan mendraf manifesto Barisan Nasional 2018 dan membentangkannya kepada perdana menteri ketika itu, Najib Razak serta pemimpin parti.
“Bahagian pertama agak mudah, seperti berapa hospital dan kilometer jalan yang kami mahu bina. Hampir setiap perkara dalam senarai itu diluluskan.
“Namun apabila menyentuh isu lebih kontroversi seperti mengehadkan penggal perdana menteri kepada dua penggal, had usia B serta pembaharuan kerajaan tempatan, mereka cuma memandang saya, kebingungan. Tetapi sekurang-kurangnya, itu satu permulaan,” katanya.
Sementara itu, Rahman akan meminta Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin untuk memuatkan beberapa elemen pembaharuan dalam manifesto bagi pilihan raya umum akan datang.
“(Jadi), sudah tiba masanya kita mengorak langkah mengusulkan pembaharuan,” kata beliau.
Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan, berkata cabarannya adalah untuk meyakinkan golongan akar umbi supaya menerima pembaharuan.
Shahril juga berkata semua parti politik mesti sehaluan dalam isu pembiayaan saksama untuk wakil rakyat, tanpa mengira mereka dari parti pembangkang atau kerajaan.
Beliau berkata Umno mesti mengambil pendirian berbeza berbanding sebelum ini, jika mahu menjadi parti untuk masa depan.