
Setiausaha Agung PAS berkata, partinya akan menerajui gabungan itu dengan nama calon bagi jawatan tersebut sudah ada.
“Kita sudah bersetuju untuk terajui PN, pengerusi yang baharu adalah daripada PAS. Malah, perkara ini juga sudah dipersetujui parti komponen lain dalam PN.
“Sebelum ini memang ada mengatakan terdapat parti yang tidak bersetuju lantik pengerusi daripada PAS, namun perkara itu tidak berbangkit apabila semua sudah bersetuju dengan pelantikan pengerusi daripada PAS,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada sambutan Tahun Baharu Cina di kediaman Presiden Gabungan Pertubuhan Tionghwa, Oie Poh Choon, di Kota Bharu.
Takiyuddin yang juga timbalan setiausaha agung PN berkata, calon pengerusi gabungan itu daripada PAS akan dikemukakan dalam mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi PN di Kuala Lumpur, dijadualkan hujung minggu ini.
Dua agenda utama akan dibentangkan iaitu penerimaan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi PN dan pelantikan penggantinya.
Muhyiddin mengumumkan keputusannya untuk berundur sebagai pengerusi PN pada 30 Dis susulan krisis politik Perlis.
Pada 1 Feb, bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin, Marzuki Mohamad, mendedahkan Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) menentang cadangan seorang pemimpin PAS mengambil alih jawatan pengerusi PN selepas beliau meletakkan jawatan berkuat kuasa 1 Jan.