Apandi tak pernah tekan kami lepaskan Najib dalam kes 1MDB, kata saksi

Apandi tak pernah tekan kami lepaskan Najib dalam kes 1MDB, kata saksi

Bekas timbalan pendakwa raya Muhamad Anas Mahadzir berkata Mohamed Apandi Ali mangarahkan pasukannya sentiasa objektif dalam meneliti bahan bukti terhadap Najib Razak.

Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali mengarahkan enam timbalan pendakwa raya meneliti kertas siasatan berhubung 1MDB. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang bekas timbalan pendakwa raya (TPR) memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali tidak pernah menekan pegawainya supaya melepaskan Najib Razak berhubung skandal 1MDB.

Muhamad Anas Mahadzir yang memberi keterangan dalam saman Apandi terhadap veteran DAP, Lim Kit Siang, berkata bekas peguam negara itu hanya mengarahkannya dan lima TPR lain supaya meneliti kertas siasatan berkaitan 1MDB dan memaklumkannya mengenai cadangan mereka.

TPR lain yang ditugaskan meneliti kertas siasatan berkenaan adalah Dzulkifli Ahmad, Budiman Lutfi Mohamed, Noor Zalizan Lazarous, Saiful Hazmi Mohd Saad dan Nazran Mohd Sham.

“Malah, beliau mengingatkan kami supaya bersikap objektif dalam meneliti kertas siasatan berkenaan,” katanya menjawab soalan peguam M Visvanathan sama ada Apandi memberi tekanan terhadap TPR.

Bekas peguam negara itu mendakwa Lim memfitnahnya dalam kenyataan pada 2019 bertajuk “Dangerous fallacy to think Malaysia is on the road to integrity” (Bahaya jika anggap Malaysia semakin berwibawa).

Apandi mendakwa, kenyataan Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menggambarkannya sebagai seorang yang tidak bermoral dan tidak beretika, tiada kewibawaan selain mengamalkan berat sebelah ketika memegang jawatan peguam negara.

Anas berkata, beliau dan bekas rakan sekerjanya itu mencadangkan tindakan lanjut diambil dalam isu melibatkan 1MDB.

“Kami tidak menerima arahan untuk menutup siasatan. Juga tiada elemen beliau menolong dan bersubahat dengan bekas perdana menteri atau 1MDB,” katanya.

Beliau sebelum itu disoal sama ada dakwaan Lim bahawa Apandi “menolong dan bersubahat dengan Najib” adalah benar.

Menjawab soalan peguam Lim, Sangeet Kaur Deo sama ada agensi penguatkuasaan bertindak atas cadangan TPR untuk melakukan siasatan tambahan, Anas berkata beliau tidak ingat.

“Sebagai salah seorang TPR, saya sedar ada kritikan terhadap agensi penguatkuasaan mengenai cara (siasatan) 1MDB dikendalikan. Antara dakwaannya termasuk melibatkan penyelindungan oleh pentadbiran,” katanya.

Bagaimanapun, Anas berkata beliau dan TPR lain tidak pernah cuba menutup siasatan 1MDB.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Azimah Omar bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.