Hanya Jho Low tahu mengapa dana SRC masuk akaun Najib, mahkamah diberitahu

Hanya Jho Low tahu mengapa dana SRC masuk akaun Najib, mahkamah diberitahu

Peguambela berkata wang itu berkemungkinan dimasukkan ke dalam akaun bank Najib Razak kerana bekas pengurus AmBank memberitahu Jho Low bakinya semakin kurang.

Peguam Najib Razak berkata Jho Low muncul untuk menguruskan akaun Najib kerana dia dapat memindahkan wang dengan bantuan orang tengah di SRC. (Gambar Bloomberg)
PUTRAJAYA:
Hanya usahawan dalam buruan Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, tahu mengapa dana SRC International Sdn Bhd dimasukkan ke dalam akaun Najib Razak di Ambank, Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini.

Peguambela Harvinderjit Singh menyatakannya ketika pengerusi panel tiga hakim, Abdul Karim Abdul Jalil, bertanya mengapa berjuta-juta ringgit dipindahkan ke dalam akaun bekas perdana menteri itu.

Karim: Mengapa RM5 juta dan RM27 juta dimasukkan ke dalam akaun Najib pada bulan Disember 2014?

(RM10 juta lagi dimasukkan ke dalam akaun Najib pada Februari 2015.)

Harvinderjit: Hanya Jho Low yang dapat menjawabnya. Teori saya ialah RM27 juta dimasukkan ke dalam akaun Najib kerana Joanna Yu Ging Ping (bekas pengurus hubungan AmBank) memberitahu Jho Low baki akaun hampir habis.

Karim, yang mendengar rayuan bersama Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera, turut bertanya kepada Harvinderjit tentang pembabitan Jho Low dalam SRC International kerana dia tidak memegang sebarang jawatan rasmi di SRC.

Peguam itu berkata peranan Jho Low adalah untuk menguruskan akaun Najib kerana dia dapat memindahkan wang dengan bantuan orang tengah di SRC, iaitu Terence Geh, seorang eksekutif di bahagian kewangan.

Terdahulu, Harvinderjit mengemukakan bahawa Jho Low terlibat dalam jejak kewangan rumit membabitkan akaun SRC, Gandingan Mentari Sdn Bhd, Ihsan Perdana Sdn Bhd dan Najib.

Peguam itu turut berkata bahawa Jho Low dan beberapa yang lain terlibat dalam pemindahan wang yang berkaitan dengan akaun Najib dan bekas perdana menteri itu tidak mengetahuinya.

“Mengapa perdana menteri ketika itu dengan sengaja mengambil wang dari sebuah syarikat berkaitan kerajaan (SRC) dan memasukkannya ke dalam akaunnya?” tanya peguam itu.

Julai lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun kepada Najib dan memerintahkannya membayar denda RM210 juta setelah mendapati dia bersalah atas tujuh tuduhan rasuah berhubung dengan RM42 juta milik SRC International, bekas unit 1MDB.

Dia dituduh menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dengan memberikan jaminan kerajaan ke atas pinjaman RM4 bilion SRC International dari Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Dia turut berdepan tiga tuduhan pecah amanah dan tiga tuduhan pengubahan wang haram berkaitan dengan RM42 juta milik SRC International.

Perbicaraan diteruskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.