Hakim kes dana SRC bagaikan ‘terdorong’ putuskan Najib bersalah, kata peguam

Hakim kes dana SRC bagaikan ‘terdorong’ putuskan Najib bersalah, kata peguam

Peguam Najib Razak, Farhan Read berkata undang-undang jenayah bukanlah saluran yang tepat untuk tertuduh dipertanggungjawabkan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara serta denda terhadap Najib Razak selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh kesalahan membabitkan pecah amanah, pengubahan wang haram, dan salah guna kuasa melibatkan RM42 juta milik SRC International.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan diberitahu hakim dalam perbicaraan kes Najib Razak berkaitan dana SRC International Sdn Bhd bagaikan “terdorong” untuk memutuskan bekas perdana menteri itu bersalah.

Peguam beliau, Farhan Read, berhujah demikian di hadapan panel tiga hakim yang diketuai Abdul Karim Abdul Jalil, dalam pendengaran rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara berhubung penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Dua lagi hakim ialah Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera.

“Kelihatan seolah-olah ada keinginan untuk memutuskan tertuduh bertanggungjawab. Hakim (Mohd Nazlan Mohd Ghazali) terdorong untuk memutuskan tertuduh bersalah,” katanya.

Farhan berkata undang-undang jenayah bukanlah saluran yang tepat untuk tertuduh dipertanggungjawabkan kerana tertuduh sudahpun dipertanggungjawabkan pada pilihan raya umum yang lalu.

Kata peguam itu lagi, dapatan hakim perbicaraan bagi memerintahkan Najib membela diri juga sangat prejudis.

Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh kesalahan membabitkan pecah amanah, pengubahan wang haram, dan salah guna kuasa melibatkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC International.

Perbicaraan bersambung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.