Badan Peguam mohon deklarasi beberapa peruntukan Ordinan Darurat tidak sah

Badan Peguam mohon deklarasi beberapa peruntukan Ordinan Darurat tidak sah

Presidennya AG Kalidas berkata, badan itu menganggap perkara yang berlaku susulan pengisytiharan darurat 11 Jan lalu sebagai ‘membimbangkan'.

Badan Peguam memfailkan tindakan undang-undang atas kewajipan statutorinya untuk menegakkan keadilan.
PETALING JAYA:
Badan Peguam memfailkan tindakan undang-undang memohon deklarasi bahawa beberapa peruntukan Ordinan Darurat bercanggah dengan Perlembagaan, dan seterusnya tiada kesan dari segi perundangan.

Dalam kenyataan hari ini, presidennya AG Kalidas berkata, Badan Peguam telah memfailkan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memohon deklarasi bahawa beberapa seksyen dalam Ordinan tersebut tidak konsisten, malah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kata beliau, ini menjadikannya tidak sah dan terbatal malah tiada kesan dari segi perundangan.

Kalidas berkata, Badan Peguam menyifatkan sebagai membimbangkan peristiwa yang berlaku susulan pengisytiharan darurat pada 11 Jan yang turut melihat beberapa ordinan dikuatkuasakan.

Menurutnya, Ordinan Darurat mengakibatkan lebih banyak kuasa diberikan kepada Eksekutif dengan mengorbankan perlindungan yang disediakan dalam Perlembagaan seperti kebertanggungjawaban dan penelitian Parlimen.

Sambil menekankan betapa pentingnya perlindungan asas untuk rakyat mengikut Perlembagaan tidak terjejas, Kalidas berkata, Badan Peguam memulakan tindakan undang-undang sebagai sebahagian daripada kewajipan statutorinya untuk menegakkan keadilan, sejajar dengan resolusi diputuskan pada Mesyuarat Agung Tahunan pada 13 Mac lalu.

Antara peruntukan Ordinan Darurat No 1 yang dipertikaikan Badan Peguam termasuk berkaitan pampasan untuk aset, kuasa eksekutif dan legislatif, serta persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Ia turut memohon deklarasi bahawa peruntukan Ordinan Darurat No 2 berkaitan berita palsu dan pernyataan pembelaan juga bercanggah dengan Perlembagaan.

Sebagai tambahan, Badan Peguam memohon deklarasi bahawa, sejajar dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, perdana menteri dan/atau kerajaan Malaysia mempunyai tanggungjawab mengikut Perlembagaan untuk menasihatkan Agong supaya memanggil persidangan Parlimen untuk pengisytiharan darurat.

Ordinan terbabit kemudian perlu dibentangkan di kedua-dua dewan Parlimen untuk membolehkan resolusi yang perlu dan wajar diputuskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.