‘Influencer’ rentas negeri hadir majlis kahwin dikompaun RM1,000

‘Influencer’ rentas negeri hadir majlis kahwin dikompaun RM1,000

Selain 'influencer' itu, pasangan pengantin terbabit juga antara lima individu dikompaun, kata Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat.

‘Influencer’ terbabit dipercayai merentas negeri beramai-ramai dari ibu negara untuk menghadiri majlis perkahwinan rakan mereka di Kota Bharu. (Gambar Instagram)
PETALING JAYA:
Lima daripada 11 individu, termasuk beberapa “influencer”, yang merentas negeri bagi menghadiri sebuah majlis perkahwinan telah dikenakan kompaun masing-masing RM1,000 bulan lalu.

Lima individu ini termasuk pasangan pengantin tersebut, kata Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat.

Sementara itu, enam lagi suspek yang bersama mereka dibebaskan selepas memberi keterangan, tambahnya.

“Kompaun itu dikeluarkan terhadap mereka selepas kelima-lima suspek hadir memberi keterangan kepada pihak polis bulan lalu,” kata beliau ketika berada di sekatan jalan raya di Kampung Gong Jenarah, Gaal, Pasir Puteh, Kelantan, hari ini.

Semua individu tersebut dikompaun mengikut Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika perintah kawalan pergerakan (PKP), kata Shafien seperti dilaporkan Kosmo.

Terdahulu, beberapa gambar dimuat naik di media sosial menunjukkan beberapa “influencer” tersebut bersama pasangan pengantin tanpa mengamalkan penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka.

‘Influencer’ terbabit dipercayai merentas negeri beramai-ramai dari ibu negara untuk menghadiri majlis perkahwinan rakan mereka di Kota Bharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.