Bot karam dipukul ribut, 3 pencandat sotong dikhuatiri lemas

Bot karam dipukul ribut, 3 pencandat sotong dikhuatiri lemas

Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat berkata saksi dari bot lain yang turut mencandat cuba menghulurkan tali kepada mangsa tetapi tidak berjaya disebabkan ombak dan ribut yang kuat.

Ketiga-tiga mangsa berpengalaman di laut dan melakukan aktiviti mencandat sotong setiap tahun. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tiga pencandat sotong dikhuatiri lemas selepas bot fiber dinaiki mereka karam dipukul ribut kira-kira 10 batu nautika dari Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuala Besar, Kelantan, pada 8.30 malam tadi.

Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat berkata operasi mencari dan menyelamat Mat Awang@Jali, 54, Mat Harun Mat Nor, 55, dan Zulshahmi Danial Zulazman, 26, kini dijalankan melibatkan 64 anggota pelbagai agensi termasuk nelayan.

“Kita difahamkan, mangsa memang setiap tahun keluar melakukan aktiviti mencandat sotong dan mereka berpengalaman di laut.

“Mengikut maklumat awal, ada saksi dari bot lain yang turut mencandat cuba menghulurkan tali kepada mangsa tetapi tidak berjaya disebabkan ombak dan ribut yang kuat,” katanya dipetik Bernama.

Shafien berkata bot yang dinaiki mangsa dikatakan dilengkapi dengan jaket keselamatan namun tidak diketahui sama ada mereka memakainya ketika kejadian.

Sementara itu, isteri kepada Mat Awang, Che Rohani Majid, 49, berkata suaminya keluar dari rumah di Nilam Puri pada 11 pagi semalam dan memberitahu akan ke laut untuk mencandat sotong pada sebelah petang.

“Sebelum hujan petang semalam dan berbuka saya cuba menghubunginya melalui WhatsApp tetapi tidak dibalas.

“Pada sebelah malam pula, saya cuba hubunginya lagi tetapi gagal. Sebelum ini jika keluar mencandat dia akan pulang ke rumah pada 2 pagi.

“Saya hanya mengetahui kejadian menimpa suami pada 7 pagi tadi. Sebelum itu, saya memang tidak sedap hati kerana keadaan cuaca buruk malam tadi,” katanya.

Sementara itu, saksi, Nik Amran Nik Hussin, 50, berkata tiga mangsa itu keluar ke laut lebih awal berbanding kumpulan lain iaitu sebelum Asar dari Jeti Kampung Keseng dekat Kuala Besar.

Nik Amran berkata bot dinaiki mangsa bertemu dengan empat lagi bot pencandat termasuk bot yang dinaikinya di sekitar lokasi mencandat semasa ribut kuat malam tadi.

“Saya sempat melihat bot dinaiki mangsa semakin tenggelam dan saya cuba membantu dengan melemparkan tali tetapi kerana jarak agak jauh, tambah pulak ribut dan ombak terlalu besar, usaha itu tidak berjaya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.