
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya memandang serius situasi harga barangan keperluan pengguna yang tidak terkawal, termasuk minyak masak botol di pasaran kerana ianya penyumbang kepada kenaikan kos sara hidup rakyat.
“Ketetapan tindakan terhadap kenaikan harga barangan terlalu tinggi ini juga terpakai kepada minyak masak botol yang ada di pasaran,” menurutnya dalam kenyataan, semalam.
Nanta berkata demikian susulan laporan media yang mendakwa harga minyak masak dalam botol bersaiz lima kilogram (kg) naik mendadak sejak Januari lepas iaitu dalam lingkungan RM28 hingga RM34 berbanding RM25 hingga RM27 pada tahun lepas.
Beliau berkata kenaikan harga barangan yang terlalu tinggi atau tidak terkawal adalah asas kepada suatu tindakan pemeriksaan dilaksanakan dan analisis pencatutan akan dilaksana selepas menerima maklum balas notis daripada peniaga.
“Justeru itu, KPDNHEP boleh melaksanakan tindakan berhubung harga minyak masak di bawah perundangan AKHAP 2011 melalui perundangan pencatutan.
“Peniaga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(1) AKHAP 2011 dan sekiranya sabit kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 sekiranya suatu perbadanan atau syarikat dan bagi bukan perbadanan atau individu pula boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Mengulas lanjut, Nanta berkata rekod aduan berhubung minyak masak botol yang dijual pada harga tinggi menunjukkan trend penurunan.
Beliau berkata minyak masak botol tidak diberikan subsidi dan akan dijual mengikut harga pasaran berdasarkan mekanisme pengapungan harga.
Nanta berkata harga pasaran minyak masak ditentukan oleh harga minyak sawit mentah dunia dan kos lain yang menyumbang kepada penentuan harga runcit minyak masak botol seperti kos operasi, kos bahan mentah dan kos pembungkusan.
“Berdasarkan data daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia, harga minyak sawit mentah mengalami kejatuhan yang ketara bermula pada bulan Februari 2020 hingga Mei 2020.
“Namun harga minyak sawit mentah dunia kembali meningkat bermula Jun tahun lepas iaitu dalam lingkungan RM1,000/metrik tan (mt) dan kini melepasi RM4,000/mt,” katanya.
Beliau berkata pada tahun ini, minyak mentah dunia semakin agresif menunjukkan peningkatan sehingga mencapai RM4,153/mt dan peningkatan harga minyak mentah dunia boleh memberi kesan kepada harga runcit minyak masak botol.
Nanta juga berkata di bawah Program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak, kerajaan memberikan subsidi untuk minyak masak dalam bungkusan polibeg satu kg sahaja dan ia adalah relevan dengan kiraan nisbah penggunaan minyak masak bagi tujuan kegunaan isi rumah iaitu satu penduduk bersamaan dengan 1.5 kg untuk kegunaan sebulan.