Dr Lee Boon Chye berkata, beliau percaya arahan sedemikian merupakan tindak balas panik dan tidak dibuat berdasarkan bukti saintifik.
Lee berkata, dalam kes pelajar dijangkiti Covid-19, kontak rapat perlu disaring dan diasingkan selama 10 hari.
“Kelas dan kawasan umum juga perlu melalui proses sanitasi. Oleh itu kelas perlu ditutup bukan untuk dua hari bagi kerja sanitasi, tetapi hingga 10 hari sehingga semua kontak rapat bebas daripada kuarantin dan pengasingan.

Katanya, adalah “sangat tidak rasioal dan mengganggu” untuk menutup sekolah hanya disebabkan satu kes yang boleh mencetuskan panik dalam kalangan ibu bapa.
“Arahan daripada kementerian tidak membantu mengatasi ketakutan. Ia hanya lebih membimbangkan ibu bapa dan menimbulkan rasa panik guru dan ibu bapa.
“Sekolah sepatutnya hanya boleh ditutup apabila terdapat kes yang disahkan membabitkan beberapa kelas,” katanya.
Lee berkata, pembelajaran juga tidak boleh dilakukan di kelas yang berhawa dingin.
Beliau berkata, penularan Covid-19 kebiasaannya berlaku di kawasan yang sesak dan aktiviti di kawasan umum seperti rehat di kantin harus dielakkan.
“Kantin sekolah mempunyai risiko yang besar dan sekolah harus membentangkan selang waktu rehat dan juga waktu tamat bagi pelajar.
“Kegiatan di kawasan umum harus diminimumkan sekarang sehingga kita dapat mengawal pandemik dengan lebih baik.”
Beliau juga mendesak kerajaan segera mewajibkan sekolah melakukan pembelajaran gabungan, iaitu kombinasi kelas bersemuka dan pembelajaran dalam talian.
Lee turut mencadangkan hari persekolahan dikurangkan daripada lima kepada tiga hari.
“Dua hari lagi boleh dilakukan pembelajaran jarak jauh, atau pembelajaran kendiri,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen meminta kerajaan memberi pendedahan lengkap dan sepenuhnya mengenai data kes positif Covid-19 di sekolah.
“Ini untuk membolehkan ibu bapa, guru, kakitangan dan pelajar membuat keputusan tepat sama ada untuk terus menghadapi risiko jangkitan.
“Hanya mereka yang dapat membuat keputusan itu, bukan kerajaan.
“Saya minta perdana menteri membuat pengumuman segera dan memberi maklumat lengkap kepada ibu bapa, pelajar, guru dan kakitangan, kes Covid-19 di sekolah yang berkenaan,” katanya dalam kenyataan.