2 kakitangan badan berkanun Sabah ditahan SPRM

2 kakitangan badan berkanun Sabah ditahan SPRM

Sumber berkata, mereka meminta wang daripada pekerja yang menjalankan kerja pertanian di badan berkanun itu sebagai balasan mendapatkan kontrak kerja.

Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy mengesahkan penahanan dua lelaki itu.
KOTA KINABALU:
Dua kakitangan sebuah badan berkanun negeri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM2,700, semalam.

Sumber berkata, wang terbabit diminta daripada pekerja yang menjalankan kerja pertanian di badan berkanun berkenaan sebagai balasan mendapatkan kontrak kerja.

“Seorang daripada suspek berusia 40-an ditahan dalam satu operasi di Tuaran pada 3.15 petang.

“Penahanan suspek pertama juga membawa kepada penahanan suspek kedua yang berusia 30-an kira-kira 8 malam di pejabat SPRM Kota Kinabalu,” katanya.

Kata sumber itu lagi, turut dirampas wang tunai kira-kira RM3,500 yang dipercayai diterima secara rasuah.

Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua lelaki itu dan berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Katanya, dua suspek itu ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut dan telah dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.