
Beliau yang juga peguam berkata, perbincangan melibatkan Hamzah itu seolah-olah membayangkan campur tangan kerajaan dalam pelantikan pegawai kanan polis, sedangkan ia sepatutnya hanya dikendalikan pasukan itu.
Hamzah hari ini mengaku dirinya dalam rakaman itu, namun menegaskan tidak melakukan sebarang kesalahan.
“Saya tak buat apa kesalahan, orang yang merakam perbualan saya dengan orang lain itu melakukan kesalahan,” katanya.
Ramkarpal berkata, sebarang campur tangan dalam hal pelantikan polis akan mengakibatkan kesangsian terhadap proses berkenaan, seterusnya menjejaskan tanggapan awam.
Beliau menyelar perkara itu sebagai “amat salah”, selain menggesa Ketua Polis Negara (KPN) baharu, Acryl Sani Abdullah Sani memulakan siasatan terhadap Hamzah sebagai tugasan pertamanya.
Jika tidak, katanya, persepsi akan terus wujud bahawa terdapat dwistandard dalam siasatan berkaitan pemimpin kerajaan berbanding pembangkang.
Mengulas dwistandard berkenaan, beliau berkata pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim, dipanggil polis untuk siasatan kes rakaman audio serupa.
“Jika Hamzah tidak melakukan kesalahan, kenapa pula ada perbezaan dalam siasatan terhadap Anwar?”
Sebelum ini, rakaman perbualan yang bocor, dikatakan antara Anwar dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dimuat naik ke Facebook.
Rakaman itu dipercayai dibuat selepas Perhimpunan Agung Umno pada lewat Mac, yang memutuskan tiada kerjasama politik antara Anwar, Bersatu dan DAP pada pilihan raya umum akan datang.
Anwar dan Zahid masing-masing menafikan perbualan itu melibatkan mereka. Hamzah kemudian berkata, kesahihan rakaman itu akan disiasat.