Kluang bawah PKP mulai 11 Mei

Kluang bawah PKP mulai 11 Mei

Kementerian Kesihatan melaporkan terdapat empat kluster aktif di daerah itu selain kadar insiden semakin meningkat di beberapa perkampungan dan taman perumahan.

Daerah Kluang di Johor diletakkan bawah PKP 11 hingga 24 Mei ini.
PETALING JAYA:
Perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di Kluang, Johor, bermula 11 hingga 24 Mei ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan terdapat empat kluster aktif di daerah itu selain kadar positiviti pula ialah 13%.

“Manakala, kadar insiden semakin meningkat di beberapa perkampungan dan taman perumahan.

“Sejak 4 Mei hingga semalam, daerah Kluang merekodkan 512 kes positif daripada keseluruhan 3,867 ujian saringan dilakukan KKM,” katanya dalam kenyataan.

Ismail berkata, pergerakan rentas negeri dan daerah tidak dibenarkan di Kluang.

Katanya, SOP di Kluang sama seperti PKP yang diumumkan sebelum ini.

“Pelaksanaan PKP ini antara lain untuk menyekat pergerakan terutama di musim perayaan dan cuti sekolah berikutan kluster tertinggi yang dilaporkan adalah daripada komuniti.

“Pada masa sama, ia bertujuan mengekang penularan jangkitan Covid-19 dalam komuniti dan mengelak penularan kes Covid-19 disebabkan aktiviti berkumpul dan majlis sosial,” katanya.

PKPD di Semporna

Sementara itu, Ismail berkata PKPD dikenakan di Kampung Keramat, Semporna, Sabah bermula 11 hingga 24 Mei.

Katanya, KKM melaporkan berlaku peningkatan jumlah kes amat ketara selain pematuhan SOP penduduk di lokaliti tersebut masih rendah.

Dalam pada itu, beliau berkata pesakit yang mempunyai temujanji doktor dan rawatan berjadual, cukup sekadar mengemukakan kad temujanji dan tidak perlu mendapatkan surat kebenaran polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.