Beri 3 bulan moratorium, bantuan tunai untuk hadapi PKP, kata DAP

Beri 3 bulan moratorium, bantuan tunai untuk hadapi PKP, kata DAP

Bantuan tunai RM500 bagi kumpulan M40 dan RM1,000 untuk kumpulan B40 boleh membantu mereka berdepan situasi buruk, kata Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Zairil Khir Johari.

Zairil Khir Johari berkata, pembekuan bayaran balik pinjaman akan membolehkan majikan mengekalkan pekerja dan membantu mereka yang terkesan dengan pelaksanaan PKP
GEORGE TOWN:
Kerajaan perlu segera memberikan moratorium pinjaman selama tiga bulan dan menyalurkan bantuan tunai RM500 dan RM1,000 kepada golongan paling teruk terjejas berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan yang bermula esok, kata Zairil Khir Johari.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP itu berkata, dengan setiap lapisan masyarakat ketika ini sedang bergelut, pembekuan bayaran semula pinjaman dan beberapa pakej sokongan akan dapat membantu mengurangkan beban ekonomi yang dilihat semakin mengancam rakyat.

Dalam kenyataan hari ini, Zairil berkata dengan perusahaan kecil dan sederhana mengambil hampir sebahagian daripada tenaga kerja yang ada, moratorium akan membolehkan mereka menambah baik aliran tunai manakala keselamatan pekerja pula dapat dijamin.

“Dengan kadar pengangguran dalam kalangan belia yang tinggi dicatatkan iaitu 13.9% awal tahun ini dan kadar pengangguran yang lazimnya berlegar sekitar 4.8%, moratorium pinjaman pasti akan dapat membantu menyelamatkan banyak pekerjaan.

“Lebih penting lagi, moratorium pinjaman sebagaimana dilaksanakan tahun lalu, dapat memberikan kelegaan segera kepada jutaan peminjam selain melancarkan ekonomi dengan sebilangannya benar-benar memerlukan kecairan (kewangan),” katanya.

Zairil berkata, walaupun terdapat banyak pakej rangsangan berjumlah RM340 bilion yang bertujuan membantu golongan miskin, B40 dan M40 sebaliknya terus menderita.

“Tidak hanya menjadi mangsa kepada sikap pilih kasih dalam penguatkuasaan SOP, kebanyakan pakej ekonomi yang diumumkan juga tidak memihak kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata, oleh yang demikian bantuan tunai bulanan sebanyak RM500 dan RM10,000 untuk golongan B40 dan M40 akan dapat membantu golongan terjejas, terutama dalam menyediakan keperluan pembelajaran secara dalam talian di mana sekolah sekali lagi ditutup.

Sementara itu, Bernama melaporkan Gabenor Bank Negara Malaysia, Nor Shamsiah Yunus, berkata moratorium pinjaman menyeluruh mungkin bukan penyelesaian terbaik bagi peminjam berikutan pelaksanaan semula PKP di seluruh negara.

Sebaliknya beliau berkata, peminjam harus berunding dengan pihak bank untuk membantu mereka memenuhi obligasi hutang mereka.

“Semua bank sudah mempunyai pelan bantuan pembayaran mereka termasuk moratorium pinjaman bersasar, ia dapat ditawarkan kepada peminjam yang kehilangan pekerjaan atau pendapatan mereka berkurangan.

“Peminjam juga dapat menggunakan pelbagai saluran yang disediakan termasuk Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), BNM, sekiranya mereka memerlukan nasihat atau bantuan lebih lanjut,” katanya kepada media selepas pengumuman prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2021 Malaysia, hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.