PKP 3.0 boleh jadi punca perniagaan gulung tikar, kata ahli ekonomi

PKP 3.0 boleh jadi punca perniagaan gulung tikar, kata ahli ekonomi

Pusingan terbaharu perintah kawalan pergerakan penuh berkuat kuasa mulai esok hingga 7 Jun.

PETALING JAYA:
Perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh negara akan menyukarkan kerajaan yang sudah sedia terjerut secara fiskal sekali gus memberi kesan buruk kepada perniagaan yang terus berdepan sekatan sejak lebih setahun lalu, ramal dua pakar ekonomi.

Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito memberitahu FMT mereka percaya banyak perniagaan akan sangat kecewa dengan pengumuman perintah semalam itu.

Perintah itu berkuat kuasa mulai esok hingga 7 Jun.

Dalam pengumuman itu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata: “Dengan jumlah kes harian melebihi 4,000 kes dan 37,396 kes aktif dengan 1,700 kes kematian setakat hari ini (10 Mei), Malaysia sedang berdepan gelombang ketiga Covid-19 yang boleh mencetus suatu krisis nasional.”

Pada Mac, beliau berjanji tidak akan ada lagi sekatan penuh.

Williams berkata pengumuman itu tidak mengejutkan, tetapi ia akan memburukkan lagi perniagaan yang sedang bergelut.

Beliau berkata sektor seperti perkhidmatan, rekreasi dan seni menguncup pada suku pertama tahun ini akibat PKP yang dikenakan pada Januari.

“Penerbitan senarai HIDE dan penutupan pusat beli-belah dan beberapa lokasi kluster lain pastinya menakutkan orang ramai.

“Hanya 30% pengurus dibenarkan di pejabat akan menyukarkan banyak syarikat. Ia akan memberi kesan buruk kepada perniagaan,” katanya.

Katanya dengan ramai orang dan perniagaan terpaksa mengusik simpanan mereka untuk bertahan ditambah dakwaan kerajaan bahawa hanya sedikit saja lagi ruang fiskal yang berbaki untuk memberi bantuan, langkah-langkah kreatif diperlukan untuk memastikan rakyat terus bertahan.

“Tanpa ruang fiskal, kerajaan kini perlu mempertimbangkan dasar kewangan yang tidak konvensional, mencetak sejumlah wang dan memberikan pembayaran tunai langsung atau menamatkan had fiskal yang dikenakan negara dan meningkatkan hutang.”

Ferlito berkata, pengumuman itu mengakhiri “kegilaan” yang perlu dihadapi perniagaan sejak beberapa minggu lalu dan akan “menghancurkan” industri perhotelan.

“Dasar berubah dari hari ke hari, dan dari menteri ke menteri,” katanya.

“Perniagaan kecewa dengan keadaan yang tidak konsistensi, dan kekeliruan adalah tidak baik untuk perniagaan. Selain ekonomi yang lesu kerana terpaksa menerapkan strategi ‘stop-and-go’.”

Walaupun ada jaminan semua sektor ekonomi akan dibenar untuk diteruskan, katanya, apa juga bentuk sekatan akan memberi kesan buruk kepada industri walau sekecil mana sekatan itu.

“Ekonomi, pasaran, terdiri dari penawaran dan permintaan. Jangan harap perniagaan dapat bertahan jika anda menyekat permintaan dan hanya membenarkan penawaran beroperasi.”

Ferlito kemudian memberikan contoh bagaimana seorang petani, yang boleh beroperasi seperti biasa, akan turut terjejas jika pemegang taruh hiliran seperti restoran dan pasar raya berdepan sekatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.