Asingkan vaksin untuk rumah jagaan orang tua, gesa pengamal perubatan

Asingkan vaksin untuk rumah jagaan orang tua, gesa pengamal perubatan

Kumpulan rentan itu perlu dilindungi kerana mungkin lebih memerlukan tempat di hospital jika dijangkiti Covid-19, dan membebankan ICU, kata MMA.

Dibimbangi akan tercetus ‘tsunami’ pesakit di hospital jika warga emas di rumah jagaan tidak diberi keutamaan dalam program imunisasi kebangsaan, kata MMA.
PETALING JAYA:
Penghuni rumah jagaan orang tua mesti diutamakan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk mengelakkan unit rawatan rapi (ICU) terbeban, menurut Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Dengan kes melonjak dan katil ICU semakin dipenuhi, MMA berkata, kumpulan rentan itu perlu dilindungi kerana mungkin lebih memerlukan tempat di hospital jika dijangkiti Covid-19.

“Desakan untuk kemasukan ke ICU boleh meningkat mendadak jika warga emas di pusat jagaan, sama ada berdaftar atau tidak, dijangkiti (Covid-19),” kata Presiden MMA Dr Subramaniam Muniandy dalam kenyataan.

“Boleh jadi tercetus ‘tsunami’ pesakit dalam kategori ini di hospital awam dan swasta jika Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mengabaikan mereka.”
Justeru, beliau menggesa dos vaksin AstraZeneca disediakan bagi golongan itu, terutamanya apabila vaksin tersebut diiktiraf oleh beberapa negara Eropah sebagai selamat bagi golongan berusia, berbanding mereka yang lebih muda.

“Tambahan, tidak patut warga emas dalam kategori ini pergi ke pusat vaksinasi untuk menerima suntikan (vaksin),” kata beliau.

Jika kekurangan tenaga kerja, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) sepatutnya meminta pertolongan pengamal perubatan swasta untuk memberi suntikan vaksin di rumah jagaan orang tua.

Pada Sabtu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan, peningkatan penggunaan ICU berpunca daripada pelbagai kes, termasuk peningkatan kes orang muda mendapat simptom teruk akibat mutasi virus baharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.