
Tidak ketinggalan ialah puncak gunungnya berdiri megah, kepelbagaian flora dan fauna serta keramahan penduduknya ke mana juga anda pergi.
“Ia sungguh menawan. Setiap kali ke sana, biar kali ke berapa sekalipun, anda akan jatuh cinta semula. Ia destinasi yang mesti dilawati oleh semua,” kata menteri pelanconga, kesenian dan budaya tersebut kepada FMT mengenai negeri kedua terbesar di Malaysia itu.
Nancy berkata, walaupun keindahan alam semula jadi dan warisan kebudayaan Sabah sudah diketahui umum, namun “Negeri Di Bawah Bayu” itu menawarkan pelbagai tarikan tersembunyi lain yang sukar ditandingi oleh destinasi pelancongan lain.
Nancy yang mengikuti lawatan kerja empat hari anjuran Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) bulan lepas berkata, antara tempat yang menarik tersebut termasuklah Pulau Mantanani di Kota Belud yang kaya dengan kehidupan marin yang mempesonakan.
“Jika anda mencari destinasi lawatan yang tersembunyi, maka pantai Kalampunian di Kudat adalah satu lagi permata sedemikian dengan pantainya yang putih besih serta air laut yang jernih. Ia memang mengagumkan.”
Nancy berkata, bagi sesiapa yang belum pernah berkunjung ke Sabah, negeri tersebut menawarkan pelbagai tarikan kepada pelawat, sama ada peminat aktiviti lasak atau pelancong santai.
“Jika anda berminat dengan pengembaraan sejati, maka mendaki Gunung Kinabalu menawarkan pengalaman yang sangat menarik serta mengujakan.
“Pemandangan dari puncaknya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
“Anda juga boleh mengikuti aktiviti berakit jeram di Kiulu atau mendekati alam semula jadi di Kem Miki di mana anda boleh menjalankan aktiviti menjejak denai di hutan hujannya yang indah dan tidak tercemar.
Menurut Nancy, antara tarikan lain ialah Pusat Pemuliharaan Orangutan di Sandakan dan Pusat Perlindungan Beruang Borneo.
Di Pulau Penyu, pengunjung boleh menyaksikan penyu mendarat, yang bakal menjadi pengalaman yang tidak boleh dilupakan.
Jelas bahawa Sabah menawarkan pelbagai pemandangan dan pengalaman menarik kepada pelawat yang mahu melepaskan diri daripada kesibukan dan tekanan kehidupan yang meletihkan.
Nancy berkata, walaupun pandemik Covid-19 hampir melumpuhkan aktiviti pelancongan, namun beliau percaya sesetengah negeri sudah bersedia untuk membuka pintu sempadannya sebaik sahaja ia dibenarkan semula.
“Mungkin anda perlu membuat senarai tempat yang ingin dilawati di Sabah atau mana-mana tempat lain, sekali gus mengambil kesempatan atas pelbagai insentif pelancongan yang ditawarkan, termasuk pelepasan cukai sebanyak RM1,000 untuk pelancongan domestik,” katanya.
Menteri itu berkata, pada masa ini, agensi pelancongan kerajaan pusat dan negeri serta pemain industri perlu terus bekerjasama supaya apabila aktiviti pelancongan dibenarkan semula, ia boleh bermula dengan cergas.