Tangguh kongres PKR, keputusan sehari dua lagi, kata setiausaha agung

Tangguh kongres PKR, keputusan sehari dua lagi, kata setiausaha agung

Saifuddin Nasution berkata, PKR sudah menghantar surat kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia berhubung perkara itu.

PKR akan memuktamadkan sama ada meneruskan kongres parti itu dalam masa terdekat. (Gambar PKR)
PETALING JAYA:
PKR akan memuktamadkan keputusan sama ada meneruskan kongres parti itu pada 5 dan 6 Jun ini atau sebaliknya susulan peningkatan penularan Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution, berkata pihaknya sudah menghantar surat kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) berhubung perkara itu.

“Kita akan membuat keputusan dalam sehari dua lagi, dan kita telah hantar surat kepada JPPM,” katanya kepada FMT.

Awal Mei lalu, Saifuddin berkata Kongres PKR akan bersidang selama dua hari pada 5 dan 6 Jun ini. Ia akan dijalankan secara maya dan fizikal, mengambil kira pandemik Covid-19.

Beliau turut memaklumkan, menerusi kongres itu pimpinan akan memberi kebebasan penuh kepada perwakilan membahaskan dakwaan kerjasama parti itu dengan Umno, termasuk rakaman perbualan kontroversi dikatakan antara Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Saifudin berkata, semua perwakilan akan diberi ruang “seluas langit dan bumi” untuk berbahas.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP 3.0 sehingga 7 Jun susulan peningkatan kes Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.