Keputusan benar pelajar pulang beraya langkah salah, kata persatuan

Keputusan benar pelajar pulang beraya langkah salah, kata persatuan

Universiti disarankan mengubah pendekatan akademik mereka untuk menyesuaikan diri dengan situasi Covid-19 semasa.

Kampus UTM Skudai diletakkan bawah perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) baru-baru ini akibat lonjakan kes Covid-19. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sebuah persatuan pelajar mengkritik keputusan membenarkan pelajar universiti pulang ke kampung halaman sewaktu Aidilfitri, dengan berkata kerajaan dan pihak universiti sepatutnya mematuhi perancangan awal mengekalkan pelajar di kampus.

Presiden Persatuan Pengajian Tinggi Malaysia Ooi Tze Howe berkata, keputusan tersebut mewujudkan lompong dalam perintah kawalan pergerakan (PKP) dan bertentangan dengan matlamat sekatan.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang mempunyai kampus di Skudai dan Kuala Lumpur, minggu lalu memutuskan untuk menangguhkan kepulangan pelajar ke kampus sehingga akhir tahun akademik.

Semalam, kerajaan mengumumkan bahawa kampus UTM Skudai akan diletakkan bawah perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) akibat lonjakan kes.

Ini dimaklumkan setelah kira-kira 2,000 pelajar meninggalkan kampus untuk pulang ke kampung halaman sempena cuti Aidilfitri. Tidak diketahui jika ada antara mereka yang telah dijangkiti virus Covid-19.

Ooi menyambut baik keputusan UTM menangguhkan kepulangan pelajar ke kampus disebabkan lonjakan kes Covid-19 di seluruh negara, namun katanya, keputusan membenarkan mereka pulang pada mulanya adalah salah.

Pada Mac, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengarahkan semua pelajar yang berada di kampus untuk kekal di sana, manakala bagi para pelajar yang berada di luar kampus, kelas dalam talian akan diteruskan sehingga tamat PKP.

Ooi menggesa pihak universiti untuk mengambil pendekatan akademik yang lebih fleksibel, tanpa mengorbankan standard.

Kata beliau, mata pelajaran yang memerlukan sesi praktikal, seperti kerja dalam makmal, boleh ditangguhkan ke semester akan datang, dan keutamaan patut diberikan kepada mata pelajaran yang boleh diajar secara maya.

Beliau juga menyeru agar pihak universiti segera merombak kursus akademik dengan mereka bentuk semula sesi praktikal supaya ia boleh dijalankan dalam talian menggunakan perisian simulasi.

Ahli eksekutif majlis pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Omar Tuah berkata, keputusan untuk menangguhkan kepulangan pelajar ke kampus perlu bergantung kepada lokasi mereka.

“Universiti di zon hijau mungkin boleh membenarkan pelajarnya kembali ke kampus,” kata beliau.

Beliau berkata, ketiadaan persekitaran yang kondusif untuk pembelajaran dalam talian akibat gangguan dan capaian internet yang terhad boleh menjadi masalah besar bagi ramai pelajar yang tidak dapat pulang ke kampus.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.