
Beliau mengulas video tular Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, yang antara lain mendakwa kerajaan mahu mengawal bekalan dan pemerolehan vaksin melalui Pharmaniaga.
Khairy, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, berkata dakwaan itu tidak berasas dan tidak adil.
Katanya, mengikut undang-undang, setiap vaksin memerlukan seorang “pemegang pendaftaran produk tempatan” – sebuah syarikat tempatan untuk mengemukakan permohonan kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi kelulusan vaksin.
“Bagi syarikat Sinovac, pemegang pendaftaran produk tempatan adalah syarikat Pharmaniaga,” katanya dalam sebuah video di laman Facebooknya malam tadi.
Bagaimanapun, katanya, ada beberapa syarikat yang berminat mendapatkan kelulusan untuk vaksin Sinopharm dari China.
“Kita terbuka kepada mana-mana pihak yang mempunyai keupayaan, dan juga maklumat, data klinik untuk mendaftarkan vaksin Sinopharm dengan NPRA.”
Beliau bertegas kerajaan tidak berhasrat mengawal pemerolehan vaksin oleh negeri atau syarikat swasta, sebaliknya “memberi keutamaan pembelian” untuk program imunisasi.
“Selepas itu, sesiapa yang ingin membeli dari mana-mana syarikat vaksin yang telah menerima kelulusan daripada NPRA, adalah bebas untuk melaksanakannya.”
Katanya, sektor swasta mula membincangkan pembelian vaksin untuk pekerja mereka dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Khairy berkata, kerajaan akan membuka vaksinasi kepada industri tidak lama lagi, di bawah fasa tiga PICK (untuk orang awam berusia 18 tahun ke atas).
“Perkara ini pun sudah berada dalam rancangan kita, cuma kita nak selesaikan dulu warga emas (individu mempunyai penyakit kronik dan orang kelainan upaya) yang sekarang ini divaksinasi.”
Katanya, beliau sebelum ini mempelawa Anwar menyertai sesi soal jawab mengenai program imunisasi untuk semua Ahli Parlimen, tetapi Presiden PKR itu tidak hadir.
“Dan hari ini Datuk Seri buat video tular yang membuat tuduhan tidak berasas, palsu, dan yang jelas menunjukkan kecetekan pemahaman Datuk Seri berkenaan isu ini.”