PKPD beberapa lokaliti di Sabah, Pahang dan Sarawak bermula 24 Mei

PKPD beberapa lokaliti di Sabah, Pahang dan Sarawak bermula 24 Mei

Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di semua lokaliti terbabit berkuat kuasa sehingga 6 Jun ini.

Beberapa lokaliti di Sabah, Pahang, dan Sarawak dikenakan PKPD selama dua minggu berikutan pertambahan kes positif Covid-19.
PETALING JAYA :
Beberapa lokaliti di Sabah, Pahang dan Sarawak dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) bermula Isnin.

Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di semua lokaliti terbabit akan berkuat kuasa sehingga 6 Jun ini.

Katanya, PKPD di Kampung Melikai Kuala Penyu, Sabah, dilaksanakan selepas berlaku peningkatan kes, apabila 15 penduduk di lokaliti tersebut disahkan positif Covid-19 hasil daripada 78 ujian saringan dijalankan KKM manakala terdapat 63 lagi sampel ujian masih menunggu keputusan.

“KKM juga mendapati, berlaku peningkatan kes yang amat ketara dalam masa yang singkat dengan kadar positiviti ialah 19.23%,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu katanya, PKPD Silimpopon Estate dan Silimpopon Mill, Kalabakan, Sabah pula dilakukan selepas berlaku peningkatan kes Covid-19 di Silimpopon Estate dan Silimpopon Mill, Kalabakan, Sabah.

Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 238 ujian saringan dan 42 daripadanya disahkan positif Covid-19.

Bagi PKPD di taman perumahan dan perkampungan sekitar Gau, Temerloh, Pahang, berlaku peningkatan kes melibatkan lokaliti seperti di Taman Gau Indah, Taman Gau Makmur, Taman Gau Aman, Taman Gau Idaman dan Kampung Gau Baru.

“Sehingga 21 Mei 2021, KKM telah melaksanakan 432 ujian saringan di semua lokaliti tersebut dan 16 daripadanya disahkan positif Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, PKPD turut dilaksanakan di tujuh Mukim dalam daerah Kuantan, Pahang membabitkan Mukim Beserah, Mukim Kuala Kuantan 1, Mukim Kuala Kuantan 2, Mukim Penor, Mukim Sungai Karang, Mukim Ulu Kuantan dan Mukim Ulu Lepar.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 6,548 ujian saringan dan 619 daripadanya disahkan positif Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, PKPD di Rumah Panjang Nyalu, Jalan Mukah-Selangau, Mukah, Sarawak dikuatkuasakan selepas berlaku peningkatan kes dengan 79 penduduk di lokaliti tersebut disahkan positif Covid -19 hasil daripada 110 ujian saringan dijalankan KKM.

Ismail berkata, kerajaan turut mengumumkan penamatan PKPD di Taman Tanah Putih Baru, Kuantan, Pahang esok lebih awal daripada dijadualkan sebelum ini iaitu pada 25 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.