Tergelincir tolak perahu, lelaki 21 tahun korban pertama banjir Sabah

Tergelincir tolak perahu, lelaki 21 tahun korban pertama banjir Sabah

Mangsa maut ketika membantu menolak perahu dinaiki bapa dan kakak iparnya.

Mayat mangsa lemas di Kampung Mantao, Beaufort, ditemui pasukan bomba tidak jauh dari lokasi dia tergelincir.
BEAUFORT:
Seorang lelaki menjadi mangsa pertama banjir di Sabah selepas ditemui lemas di Kampung Mantao, hari ini.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira 10 pagi ketika mangsa berusia 21 tahun tergelincir semasa membantu menolak perahu dinaiki bapa dan kakak iparnya.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan membantu mengemas barang di tempat jualan sarang burung milik abang kandungnya yang dilanda banjir.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Yusoff Zaki Mat Yaacob, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, mangsa dikenali sebagai Fairol Jisirun dan siasatan awal mendapati mangsa cuba menolak perahu dinaiki ahli keluarga selepas membantu di premis abangnya.

“Bagaimanapun, selepas tergelincir, abang mangsa yang turut berada di lokasi kejadian cuba membantunya namun gagal kerana tidak tahu berenang.

“Pasukan bomba kemudian dimaklumkan dan usaha pencarian segera dilakukan,” katanya.

Yusoff berkata, mayat mangsa berjaya ditemui tidak jauh dari lokasi dia tergelincir.

“Mayat sudah dihantar ke Hospital Beaufort untuk tindakan selanjutnya dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

“Mangsa adalah korban pertama insiden banjir di daerah Beaufort,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.