Belajar dari negara lain adakan sidang Parlimen maya, kerajaan diberitahu

Belajar dari negara lain adakan sidang Parlimen maya, kerajaan diberitahu

Nasihat pakar undang-undang juga wajar diperoleh melibatkan cara mengatasi cabaran berkaitan kos, logistik serta perundangan sedia ada.

Beberapa kumpulan mencadangkan sidang Dewan Rakyat diadakan secara maya, atau sekadar dengan hanya memenuhi korum 26 Ahli Parlimen. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Beberapa kumpulan masyarakat awam menggesa Malaysia mencontohi negara lain yang mengadakan Parlimen secara maya, dalam pada debat masih berterusan sama ada Dewan Rakyat patut bersidang.

Kumpulan terlibat mengakui persediaan untuk melakukan persidangan maya adalah sesuatu yang mencabar.

“Bagaimanapun, Dewan Rakyat boleh mencontohi amalan di negara lain yang mengadakan prosiding Parlimen secara maya,” kata mereka dalam kenyataan bersama.

Kenyataan itu ditandatangani Bait Al-Amanah, Bersih 2.0, ENGAGE, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (REFORM) serta Pusat Komas.

Menurut mereka, nasihat pakar undang-undang terkemuka juga wajar diperolehi melibatkan cara mengatasi cabaran berkaitan kos, logistik serta perundangan sedia ada.

Selain itu, kata mereka, tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang melarang sidang Parlimen diadakan secara maya.

Namun begitu, Perintah-perintah Tetap Dewan Rakyat perlu dikemaskini untuk membolehkan sidang maya diadakan.

Secara alternatif, kata mereka, persidangan awal boleh diadakan di lokasi biasa, namun hanya dengan korum perlu yang seimbang bagi tujuan pembentangan dan kelulusan pindaan diperlukan untuk peraturan yang relevan.

Dewan Rakyat hanya memerlukan 26 Ahli Parlimen hadir untuk mencukupkan korum.

“Satu lagi alternatif adalah merangkumkan peruntukan yang perlu ke dalam Ordinan Darurat bagi membolehkan sidang Parlimen maya atau separa maya,” kata mereka, dengan menambah perkara utama dalam semua keadaan itu adalah untuk mendapatkan izin semua pihak.

Mereka juga berkata, paling utama, semua pemimpin dan Ahli Parlimen perlu membincangkan perkara itu.

“Parlimen lumpuh bererti demokrasi turut lumpuh. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.”

Isnin lalu, Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun dipetik berkata, terpulang kepada kerajaan untuk memutuskan sama ada Parlimen boleh bersidang.

Azhar dipercayai menjawab kenyataan timbalannya, Azalina Othman Said yang dipetik berkata minggu lalu bahawa sekatan pergerakan penuh tidak patut melumpuhkan demokrasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.