
Satu ‘kenyataan dalaman’ yang dilihat FMT menyebut semua 65 kes positif itu melibatkan pelajar yang tinggal di kampus, dengan jangkitan kebanyakannya dikesan di sebuah kediaman, tetapi turut dilaporkan di tiga kediaman lain.
Ia turut menyatakan sebanyak 407 pelajar sudah diuji, dengan hasil ujian swab pertama ke atas 330 orang didapati negatif dan keputusan bagi 12 sampel lagi “inconclusive”.
Turut dinyatakan dalam kenyataan itu ketika berita ini ditulis, ialah tujuh pelajar belum menjalani swab.
Memo itu berkata, semua kes adalah kontak rapat antara satu sama lain.
“Semua kes bukan positif yang disaring adalah dikira berstatus kontak rapat dan diwajibkan menjalani tempoh kuarantin…selama 10 hari bermula dari tarikh saringan.
“Pelajar yang berstatus positif telah diasingkan, sementara menunggu tindakan selanjutnya daripada pihak Pejabat Kesihatan Daerah dan Kementerian Kesihatan,” katanya.
Kawasan yang terkesan telah ditutup sementara dengan kawalan keselamatan dan tiga kediaman dijadikan tempat kuarantin.
Universiti itu meminta pelajar dan kakitangan kekal tenang, selain menegaskan bahawa keadaan dalam kampus masih terkawal.
Pelajar dan kakitangan universiti juga tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai jangkitan di kampus itu kepada pihak luar.
FMT tidak menamakan universiti itu sementara menunggu pengesahan daripadanya.
FMT juga sudah menghubungi Kementerian Pengajian Tinggi untuk maklumat lanjut.
Pada April, Putrajaya mengumumkan pelajar universiti boleh pulang ke kampung atau kekal di kampus semasa sambutan Hari Raya.
Langkah itu dikritik pakar perubatan yang bimbang ia boleh menyebabkan peningkatan jangkitan baharu Covid-19.
Beberapa minggu kemudian, kampus Universiti Teknologi Malaysia di Skudai, Johor dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) susulan jangkitan di situ.
Ia berlaku kurang dua minggu selepas kira-kira 2,000 pelajar meninggalkan kampus.