Problem? MITI boleh jawab, kata Ismail Sabri

Problem? MITI boleh jawab, kata Ismail Sabri

Perkara membabitkan kelulusan operasi sudah diserahkan kepada MITI untuk diputuskan.

Ismail Sabri Yaakob menyerahkan kepada MITI untuk menjawab isu berbangkit berkaitan kelulusan operasi sepanjang PKP penuh.
PUTRAJAYA:
Keluhan mengenai kebenaran beroperasi dalam bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) perlu dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata demikian susulan rungutan bahawa ribuan perniagaan, termasuk kilang, dibenarkan beroperasi, walaupun tempat kerja menjadi kluster atau titik panas jangkitan Covid-19 yang memaksa kerajaan melaksanakan PKP 3.0.

Setakat 7.30 pagi tadi, MITI meluluskan sejumlah 128,150 syarikat melibatkan 1.57 juta pekerja untuk beroperasi.

Di sebalik angka tinggi itu, ramai pihak turut mengeluh atas kelewatan memperolehi kebenaran MITI untuk beroperasi di bawah ‘lockdown’ yang berkuatkuasa Isnin lalu selama dua minggu.

“Saya susah nak jawab (rungutan awam) sebab kita sudah menyerahkannya kepada MITI, jadi MITI boleh jawab,” kata Ismail dalam sidang media secara maya sempena majlis pelancaran Pembinaan Hospital Modular Covid-19 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.

Awal minggu ini, pertengkaran panas melibatkan beberapa menteri dilaporkan tercetus berhubung tindakan MITI membenarkan begitu banyak syarikat beroperasi.

Pertelingkahan itu dikatakan berlaku apabila sejumlah menteri menyifatkan keadaan itu sebagai lebih menyukarkan usaha Putrajaya melaksanakan ‘lockdown’ secara total dan menguatkuasakan SOP dengan berkesan.

Malah, pihak tertentu mengaitkan pertelingkahan itu kepada kepada muat naik Ismail di Facebook semalam, mengatakan “saya dah tutup pintu depan tapi…,” disusuli emoticon menangis.
Bagaimanapun Ismail hari ini berkata beliau hanya menulis sedemikian sebagai tanda beliau hendak pulang ke rumah selepas selesai tugasan harian.

MITI sebelum ini menjadi turut sasaran warganet yang meluahkan kekecewaan dengan sistem Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 yang diselia oleh MITI.

“Sudah daftar malam tadi tetapi masih belum dapat kelulusan,” antara luahan warganet di ruangan komen Facebook MITI mengenai isu permohonan surat kebenaran beroperasi bagi sektor ekonomi perlu.

Hari ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali berkata pihaknya bekerjasama dengan CyberSecurity Malaysia dan beberapa pakar IT bagi memperkasa portal CIMS itu, sekali gus mengelakkan kebolosan sistem berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.