
ERL dalam kenyataan semalam memaklumkan keputusan itu susulan rundingan dengan Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat, selain mengambil kira arahan terkini kerajaan berhubung langkah bekerja dari rumah serta sekatan perjalanan lebih ketat yang bermula kelmarin.
“Justeru, bagi memastikan ERL mampu meneruskan perkhidmatan kepada semua pelanggannya sebaik sahaja PKP ditamatkan dan kekal mampan dari segi kewangan, syarikat dengan penuh rasa kesal terpaksa menggantung sementara perkhidmatannya sehingga notis lanjut,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut lebih setahun selepas penularan pertama Covid-19, hampir tidak ada perjalanan udara dan bilangan pengguna perkhidmatan tren itu adalah terhad.
Ini menyebabkan purata pengguna harian ERL merosot sebanyak 69% pada 2020 berbanding 2019 sebelum negara dilanda Covid-19 dan dengan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh kelmarin, purata penumpang terus menjunam sebanyak 89% berbanding tahun sebelumnya.
Mereka yang terpaksa melakukan perjalanan kerana perkara mustahak sepanjang PKP 3.0 dinasihatkan mengambil langkah alternatif untuk pengangkutan mereka.
Maklumat berhubung opsyen pengangkutan dari setiap stesen ERL dan kemas kini perkhidmatan boleh didapati di www.KLIAekspres.com, Facebook serta Twitter KLIA Ekspres, dan bagi mereka yang memerlukan bantuan lanjut, sila hubungi 03-2267 8000 (Isnin hingga Jumaat, 8.30 pagi hingga 6 petang).