
Ketua Polis Daerah Ipoh, A Asmadi Abdul Aziz, berkata dalam serbuan pertama pada 5.45 petang, pihaknya menahan empat lelaki dan seorang wanita berumur antara 24 hingga 40 tahun yang bermain judi poker dengan menggunakan cip, daun terup dan wang pertaruhan.
“Pemeriksaan di rumah pertama mendapati premis itu disewa sejak kira-kira dua bulan lepas daripada rakan seorang daripada lima yang ditahan itu, yang kini berada di Singapura,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas satu meja poker, lima kerusi, dua set peralatan permainan poker, 439 cip pelbagai nilai, 52 keping daun terup serta wang tunai berjumlah RM1,745 daripada mereka.
A Asmadi berkata, dalam serbuan kedua pada 6.15 petang pula, pihaknya menahan enam lelaki berumur lingkungan 25 hingga 36 tahun termasuk pemilik rumah yang sedang berjudi daun terup di halaman premis itu serta merampas dua meja, enam kerusi, 52 keping daun terup serta wang tunai berjumlah RM769.
Katanya, 11 individu itu dikompaun RM10,000 setiap seorang manakala pemilik premis pula dikompaun RM25,000 mengikut Seksyen 21A (1) Ordinan Darurat kerana berkumpul dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP).
Mereka turut ditahan bagi siasatan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Sementara itu, A Asmadi ketika melawat Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2, Kampung Jelapang Baru dan Kampung Sungai Tapah, Manjoi dalam Mukim Hulu Kinta, di sini yang kini dilaksanakan kawalan perintah pergerakan diperketatkan (PKPD) berkata, pihaknya akan mempertimbangkan pembukaan kedai perkhidmatan perlu di kawasan terlibat.
“Bagaimanapun ia tertakluk kepada permohonan dan kelulusan yang akan diberi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak,” katanya.
PKPD di kawasan penempatan Melayu terbesar di Perak itu melibatkan sebanyak 4,000 rumah dan 16,000 penduduk, bermula dari hari ini hingga 19 Jun.