Masalah air Bandar Sierra, kawasan sekitar dijangka berakhir 2023, kata Bung

Masalah air Bandar Sierra, kawasan sekitar dijangka berakhir 2023, kata Bung

Selain Bandar Sierra, kawasan yang turut mengalami gangguan bekalan air ketika ini ialah di Sepanggar University Apartment, Taman Rimba, Manggatal dan sekitarnya.

Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Edward Lingkapo (tengah) berkata sesuatu kepada Bung Moktar Radin (kanan) yang membuat lawatan mengejut ke loji rawatan air Telibong fasa 2, di Tuaran, hari ini, (Gambar Kementerian Kerja Raya Sabah)
TAMPARULI:
Timbalan Ketua Menteri, Bung Moktar Radin, berkata gangguan bekalan air yang dialami penduduk sekitar Sepanggar termasuk di Bandar Sierra, Telipok hanya akan pulih selepas loji rawatan air Telibong fasa 2 siap sepenuhnya pada 2023.

Katanya, projek yang akan meningkatkan kapasiti air bersih daripada 80 juta liter sehari (MLD) ketika ini kepada 160 MLD tertangguh dari jadual asal dan kontraktor yang bertanggungjawab sudah diberikan lanjutan masa untuk menyiapkannya.

Beliau berkata, selain Bandar Sierra, kawasan yang turut mengalami gangguan bekalan air ketika ini ialah di Sepanggar University Apartment, Taman Rimba, Manggatal dan sekitarnya.

“Kita bukan mendesak kontraktor pelaksana (untuk siapkan projek secepat mungkin), kita faham kerana dengan situasi sekarang terutama ketika PKP, ia menjadi antara kekangan kepada kontraktor.

“Bagaimanapun, ia bukanlah alasan untuk projek ini tidak nampak kemajuan pelaksanaannya, kami akan memantau progres projek ini dan saya mahu melihat ada kemajuan pada setiap bulan,” katanya selepas membuat lawatan mengejut ke tapak projek loji rawatan air Telibong Fasa 2, hari ini.

Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata, kapasiti air sedia ada ketika ini tidak dapat lagi menampung keperluan air bersih yang permintaannya semakin meningkat, berikutan pertumbuhan pesat bandar raya Kota Kinabalu hingga menyebabkan beberapa kawasan mengalami gangguan air.

Selain itu, katanya projek pembangunan termasuk pembinaan jalan raya Pan Borneo, kecurian air dan pencemaran sungai juga menjadi faktor kepada gangguan bekalan air di sekitar kawasan terbabit.

Terdahulu, FMT melaporkan kawasan di taman perumahan Bandar Sierra serta Taman Rimba mengalami gangguan air yang teruk malah ada kawasan rumah yang tidak mendapat bekalan air selama lebih dua minggu.

Berikutan itu juga, sekumpulan penduduk di Bandar Sierra melakukan inisiatif sendiri dengan membina paip graviti bagi mendapatkan sumber air daripada bukit berhampiran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.