Padah lastik kereta bekas isteri, peniaga didenda RM500

Padah lastik kereta bekas isteri, peniaga didenda RM500

Lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan melastik bola besi pada kereta Kia Rio milik mangsa berusia 36 tahun sehingga menyebabkan cermin kanan penumpang belakang berlubang dengan kerugian RM200.

Tertuduh, Edy Syu’aib Mohd Suhaimi, 36, didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini.
PETALING JAYA:
Seorang peniaga kedai makan didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu selepas mengaku bersalah melastik kereta bekas isterinya, minggu lalu kerana berang dihalang berjumpa anak-anak.

Tertuduh, Edy Syu’aib Mohd Suhaimi, 36, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan kepadanya di depan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan melastik bola besi pada kereta Kia Rio milik mangsa berusia 36 tahun sehingga menyebabkan cermin kanan penumpang belakang berlubang dengan kerugian RM200.

Kesalahan dilakukan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang, kira-kira 7.30 petang pada 30 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, menurut laporan Utusan Malaysia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin manakala tertuduh diwakili oleh Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Roshayati Hassan.

Terdahulu, Sharifah Amirda Shasha memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran selain demi menjaga kepentingan awam.

Roshayati pula memohon rayuan ringan kerana perbuatan anak guam berlaku selepas tertuduh berang dihalang bertemu empat orang anaknya.

“Sebelum kejadian, berlaku pertelingkahan antara mereka apabila bekas isteri tidak membenarkan tertuduh bertemu anak-anaknya.

“Selain itu, tertuduh adalah seorang peniaga yang membuka kedai makan bersama ibunya. Dia juga menghidap penyakit migrain yang teruk dan sering mendapat rawatan di hospital,” katanya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM500 atau diperintah menjalani hukuman penjara 12 bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda ditetapkan mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.