
Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, mesyuarat Kabinet pada 9 Jun menerima 23 cadangan Jawatankuasa Siasatan untuk penambahbaikan sistem berkenaan dan kementerian akan mengaudit kemajuan penambahbaikan secara berkala.
“Ia bertujuan menambah baik keseluruhan sistem Prasarana dan Rapid Rail, perkhidmatan serta seluruh industri perkhidmatan rel dan pengurusan infrastruktur bagi memastikan keselamatan awam sentiasa diutamakan,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.
Wee menjelaskan, 23 cadangan itu dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu cadangan penambahbaikan bagi jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.
Perincian 23 cadangan tersebut adalah seperti berikut;
Penambahbaikan jangka pendek (dalam masa tiga bulan)
- Menetapkan dua pemandu bagi mengendalikan tren secara manual ketika di dalam terowong. Peranan pemandu kedua adalah sebagai pegawai keselamatan dan pematuhan (Safety & Compliance Officer).
- Lampu suluh berkuasa tinggi dibekalkan kepada pemandu untuk memudahkan tugas mereka ketika di dalam terowong.
- Penyediaan senarai semak untuk kegunaan dan panduan kepada Hostler serta pusat kawalan operasi (OCC) dalam mengendalikan tren secara manual ketika situasi kritikal.
- Menubuhkan Jawatankuasa Pengawasan untuk menjalankan audit terhadap tanda arah/penanda landasan.
- Menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan untuk melaporkan audit keselamatan kepada pengurusan kanan Prasarana dan Rapid Rail bagi tujuan semakan serta pemantauan.
Penambahbaikan jangka sederhana (dalam masa tiga hingga enam bulan)
- Menjalankan penilaian teknikal terhadap SOP pengendalian tren secara manual di dalam terowong bersama audit secara berkala.
- Menjalankan penilaian teknikal terhadap sistem komunikasi dan mengemukakan cadangan penambahbaikan sistem yang diperlukan.
- Tingkatkan SOP operasi yang digunakan di OCC dengan audit berkala.
- Menyemak SOP berkaitan tindakan di dalam situasi normal (N) / direndahkan (degraded) (D) / kecemasan (emergency (E).
- Meningkatkan akauntabiliti pengurusan terhadap perkara-perkara berkaitan prosedur, SOP, pelan tindakan kecemasan (ERP) dan Keselamatan.
- Meningkatkan Pelan Komunikasi SOP Prasarana & Rapid Rail untuk pemahaman semua peringkat kakitangan.
- Mengemaskini buku peraturan, manual OCC dan manual pemandu.
- Melaksanakan Job Safety Analysis (JSA) terhadap setiap pengambilan kakitangan termasuk kakitangan sedia ada di dalam kategori ‘Safety Critical Position’ untuk kecekapan dan pengetahuan.
- Meningkatkan SOP bagi mengaktifkan dan nyah-aktif bekalan kuasa elektrik trek terutamanya ketika berlaku kecemasan atau keadaan kritikal.
- Penilaian teknikal dan audit kesemua peralatan keselamatan dan kecemasan.
- Melakukan penilaian risiko ke atas sistem komunikasi di antara pemandu dan OCC.
Penambahbaikan jangka panjang (enam bulan atau lebih lama)
- Mengadakan kursus latihan dan pensijilan semula secara berkala bagi mengekalkan kecekapan OCC dan pemandu.
- Menjalankan penilaian risiko terhadap pemasangan ‘stanchion’ di ‘vestibule’ di dalam tren.
- Lakukan simulasi untuk menguji semua SOP sedia ada dan yang telah dikemaskini.
- Melaksanakan kajian dan penilaian RAMS (reliability, availability, maintainability and safety) ke atas sistem-sistem tren/rel dan aset Prasarana serta Rapid Rail.
- Meningkatkan sistem pengesanan tren elektronik untuk memastikan tren dapat dikesan dari jarak jauh apabila terjadi keadaan ‘time-out’.
- Memperkasa Bahagian Penguatkuasaan Rel, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) melalui pertambahan perjawatan dan program peningkatan kompetensi.
- Memperkenalkan ‘hot button’ untuk mempermudahkan kawalan OCC ke atas tren semasa keadaan kritikal.