LRT bertembung: Siasatan dapati SOP kritikal diabaikan, kata menteri

LRT bertembung: Siasatan dapati SOP kritikal diabaikan, kata menteri

Wee Ka Siong berkata, Hostler dan OCC telah mengabaikan SOP kritikal tertentu secara tidak sengaja.

PETALING JAYA:
Siasatan ke atas insiden dua tren transit aliran ringan (LRT) yang bertembung mendapati, ia berpunca daripada SOP kritikal tertentu tidak dipatuhi, kata Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong.

“Siasatan mendapati, ketika proses pemindahan Tren 40 untuk diset semula dan dikembalikan kepada operasi tren automatik (ATO), kedua-dua hostler (pemandu) dan pengawal pusat kawalan operasi ( OCC) telah mengabaikan SOP kritikal tertentu.

“Ini secara tidak sengaja mengakibatkan Tren 40 bergerak secara manual ke arah Gombak (arah utara) dan bukannya ke selatan menuju ke depoh,” katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Laporan siasatan insiden pelanggaran tren LRT Laluan Kelana Jaya antara stesen Kampung Baru dan KLCC pada 24 Mei lalu diserahkan kepada Kabinet pada Rabu, 9 Jun.

Wee berkata, antara faktor lain adalah masalah teknikal, kegagalan komunikasi antara OCC dengan pemandu Tren 40 tanpa penumpang yang pada ketika itu sedang berada dalam pengendalian ‘time out’ dan pelepasan Tren 81 sehingga berlakunya perlanggaran.

“Tren 40 mengalami masalah teknikal pada salah satu daripada dua sistem Komunikasi On-Board Vehicle (VOBC) pada jam 6.26 petang, 24 Mei 2021.

“Apabila satu VOBC gagal berfungsi dan hilang komunikasi dengan OCC maka tren perlu dikosongkan di stesen berikutnya serta dikeluarkan dari perkhidmatan untuk penyelenggaraan di depoh Lembah Subang,” kata Wee.

Namun, Tren 81 dilepaskan untuk melakukan perjalanan meninggalkan stesen KLCC menuju ke stesen Kampung Baru tanpa mendapat pengesahan tepat yang mengatakan Tren 40 telah diset semula kepada ATO.

“Tren 81 sedang ditahan di stesen KLCC dan meletakkan keadaan status ‘Manual Route Reservation’ (MRR) iaitu perlindungan kepada Tren 40 sebelum dapat dikendalikan secara ATO.

“Keadaan ini seterusnya mengakibatkan berlaku pertembungan antara Tren 40 dan Tren 81.”

Beliau menjelaskan, Tren 40 ketika kejadian masih boleh beroperasi menerusi ATO dengan VOBC kedua yang masih berfungsi.

Tetapi, pada jam 8.13 malam, VOBC kedua Tren 40 ini juga gagal berfungsi ketika dalam perjalanan ke Lembah Subang dan terkandas di antara stesen LRT KLCC dan Kampung Baru.

Dalam pada itu, Wee menegaskan bahawa objektif siasatan ini adalah bagi menentukan hal keadaan dan punca sebenar perlanggaran dengan tujuan mengelakkan insiden yang sama

“Objektif siasatan ini tidak bertujuan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti terhadap mana-mana pihak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.