Pemimpin PAS tiba di Istana Negara untuk menghadap Agong

Pemimpin PAS tiba di Istana Negara untuk menghadap Agong

Tuan Ibrahim Tuan Man adalah pemimpin parti politik kelima yang menghadap Agong.

Vellfire berwarna hitam yang membawa Tuan Ibrahim Tuan Man memasuki pintu utama Istana Negara sekitar 10.20 pagi tadi.
KUALA LUMPUR:
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man tiba di Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Vellfire berwarna hitam yang membawa menteri alam sekitar dan air itu memasuki pintu utama Istana Negara sekitar 10.20 pagi tadi.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu meninggalkan perkarangan Istana Negara kira-kira 11.35 pagi.

Beliau adalah pemimpin politik kelima yang menghadap Agong, selepas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu menemui Sultan Abdullah semalam untuk membincangan isu wabak Covid-19 dan masalah ekonomi yang melanda negara ketika ini.

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Warisan, Shafie Apdal juga berada dalam senarai untuk menghadap Agong pada hari kedua hari ini.

Presiden MCA, Wee Ka Siong tiba di Istana Negara pada 11.54 pagi tadi dan menghadap Agong hampir sejam.

Sementara itu, dalam kenyataan Tuan Ibrahim berkata beliau mewakili Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menghadap Agong dan perbincangan tersebut berkisar isu Covid-19, pelaksanaan darurat dan persidangan Parlimen.

Katanya, baginda juga serius apabila menitahkan hal berkaitan  kes Covid-19 yang sedang berlaku.

“PAS merupakan sebahagian daripada komponen kerajaan akan terus mendukung pendirian yang diambil untuk menangani pandemik melanda negara hari ini.

“PAS juga telah mengarahkan seluruh jentera parti untuk terus memobilisasi usaha membantu petugas barisan hadapan dalam semua inisiatif bawah program vaksinasi kebangsaan seperti melancarkan kempen dan bertindak sebagai pemudah cara untuk membantu golongan memerlukan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.