
Inaraissah Munirah Majilis berkata, beliau menerima keluhan daripada penduduk di kawasannya yang mendakwa sudah lama mendaftar tetapi sehingga kini masih belum dipanggil.
Katanya, mengikut data diterima, seramai 13,530 penduduk Kota Belud sudah mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera namun hanya kira-kira 2,000 orang termasuk petugas barisan hadapan yang telah menerima vaksin.
Sehubungan itu, katanya pusat khidmat masyarakat Kota Belud melancarkan inisiatif bagi memudahcara pendaftaran suntikan Covid-19 di daerah berkenaan menggunakan aplikasi WhatsApp.
“Inisiatif ini merupakan usaha untuk mendaftar lebih ramai warga Kota Belud mendapatkan suntikan vaksin bagi mencegah penularan Covid-19 dalam komuniti.
“Saya mendapat banyak keluhan bahawa mereka telah mendaftar dalam aplikasi MySejahtera sejak tiga bulan lepas tetapi masih belum dipanggil untuk disuntik sehingga ke hari ini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berharap usaha itu dapat membantu proses pendaftaran agar lebih ramai yang akan disuntik dalam kadar segera.
Munirah berkata, selain memudahkan masyarakat di Kota Belud untuk mendaftar, inisiatif berkenaan juga untuk membantu pejabat kesihatan di daerah terbabit mengendalikan pendaftaran.
Katanya, pusat pemberian vaksin (PPV) Kota Belud berkeupayaan memberi vaksin kepada maksimum sekitar 1,000 orang sehari dan sekiranya mengambil kira populasi penduduk seramai 74,400 yang berusia 18 tahun ke atas, ini akan mengambil masa lebih kurang 150 hari untuk menghabiskan dua dos.
“Selain itu, Kota Belud juga kini mempunyai dalam lapan kawasan yang dalam arahan PKPD.
“Sehubungan itu, saya berharap dengan adanya aplikasi mudah untuk mendaftar menerusi WhatsApp ini, maka daerah ini diberi perhatian kerana kita juga merupakan pusat kuarantin yang menampung seluruh kawasan pantai barat,” katanya.
Mengulas mengenai inisiatif itu, Munirah yang juga Ketua Wanita Warisan berkata, pihaknya akan mengumpul senarai penduduk yang akan dihantar ke pejabat kesihatan Kota Belud setiap hari.