
Ketua Menteri Abang Johari Tun Openg berkata, kos perkhidmatan itu yang ditanggung kerajaan negeri akan digunakan pasukan vaksinasi bergerak yang turut menggunakan pengangkutan sungai untuk sampai ke petempatan yang tidak dapat dihubungi menggunakan jalan raya.
“Kita telah membuat beberapa penyesuaian mengikut keperluan tempat masing-masing, khususnya di luar bandar. Kita telah menggunakan (kaedah) suntik dulu baru mendaftar kerana kita nak mempercepatkan (proses vaksinasi),” katanya.
Bercakap dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke pusat pemberian vaksin (PPV) di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di sini beliau berkata, jumlah PPV di negeri ini juga akan ditambah lagi daripada 213 yang beroperasi sekarang bagi mencapai sasaran vaksinasi 50,000 orang sehari.
Menurutnya, sejumlah 110,380 dos vaksin akan tiba esok untuk diberikan kepada penduduk di Miri, Bintulu dan Belaga, manakala 350,000 dos lagi akan tiba di Kuching pada Jumaat ini untuk PPV di bandar raya itu.