
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD selama 14 hari bermula 21 Jun hingga 4 Julai ini susulan berlaku peningkatan jangkitan Covid-19.
Di Sabah, PKPD di Sandakan melibatkan Kampung Nelayan Batu 10, manakala di Penampang pula membabitkan Fasa 1 dan Fasa 2, Taman Digot.
“Terdapat peningkatan ketara kes di Kampung Nelayan Batu 10, apabila sebanyak 19 kes positif direkodkan hasil daripada 29 individu yang disaring dengan kadar positiviti 65.51%.
“Di Fasa 1 dan Fasa 2, Taman Digot, Penampang, Sabah, sebanyak lapan kes positif Covid-19 telah dikesan hasil saringan dilakukan oleh KKM di lokaliti tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Sementara di Lahad Datu, PKPD melibatkan kawasan Kampung Rancangan Silabukan Peringkat 4, dengan lapan individu disahkan positif Covid-19 hasil daripada 40 ujian saringan.
Di Kelantan, PKPD melibatkan Taman Merbau Utama, Mukim Bukit Jawa, Selising, Pasir Puteh, dengan 41 kes positif telah direkodkan.
Ismail turut memaklumkan, PKPD di beberapa lokaliti termasuk empat Rumah Panjang di Batang Oya, Dalat, Mukah, Sarawak yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan bermula 21 Jun sehingga 4 Julai susulan masih terdapat penularan dalam komuniti.
PKPD tersebut melibatkan Rumah Panjang Bala anak Umba, Rumah Panjang Tulu anak Sli, Rumah Panjang Duah anak Entingi, Rumah Panjang Balik anak Gema, Sekolah Kebangsaan (SK) St Luke dan Klinik Kesihatan Nanga Baoh.
Sementara itu, PKPD FELDA Umas 4, Kalabakan, Sabah ditamatkan tengah malam esok begitu juga PKPD di Kampung Gunung Senyum, Kuala Krau, Temerloh, Pahang.
Penamatan PKPD Asrama Pekerja Kilang Eco Medi Glove, Jalan Tembaga Kuning, Mukim Taiping, daerah LMS, Perak juga ditamatkan bermula tengah malam esok
Bagaimanapun, PKPD Kampung Tanjung Batu Darat, Tawau ditamatkan tengah malam ini lebih awal dari yang dijadualkan begitu juga PKPD di tiga perkampungan di Tawau, Sabah yang melibatkan Kampung Blok 31, Kampung Sentosa, Blok 5 Hilltop dan Kampung Bukit Kukusan, Tanjung Batu.
Dalam pada itu Ismail berkata, 718 individu ditahan polis semalam atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 663 dikompaun, 49 direman, manakala enam lagi individu dijamin.
“Antara kesalahan direkodkan ialah individu gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis, tidak memakai pelitup muka, rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan di premis, tiada penjarakan fizikal, tidak patuh arahan kawalan pergerakan, membawa penumpang berlebihan, premis gagal patuhi arahan, dan aktiviti pusat hiburan,” katanya.