
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD selama 14 hari bermula 22 Jun hingga 5 Julai ini susulan peningkatan jangkitan Covid-19.
Di Sabah, PKPD di Keningau melibatkan, Kampung Skim Pamalan manakala di Kunak membabitkan Kampung Jaya Baru.
“Di Kampung Skim Pamalan terdapat peningkatan kes Covid-19 di lokaliti tersebut di mana 30 kes positif direkodkan daripada 339 ujian saringan.
“Di Kampung Jaya Baru, Kunak, peningkatan ketara kes dalam tempoh yang singkat apabila sebanyak 20 kes positif telah direkodkan di lokaliti ini hasil daripada 83 ujian saringan.
Sementara itu, Taman Wijaya Park, Kota Kinabalu, Kampung Serudung Baru, Tawau dan Ladang Brumas, Kalabakan turut berada bawah PKPD susulan peningkatan kes positif.
Di Johor, PKPD melibatkan Kampung Tanjung Genting, Kampung Benaung, Kampung Makam dan Kampung Sawah Datok dengan 54 kes positif telah direkodkan hasil dari 268 ujian saringan yang dijalankan.
Manakala di Pahang, PKPD membabitkan lima taman perumahan dalam kawasan Mentakab, Daerah Temerloh, iaitu Taman Bukit Bendera, Taman Rimba, Taman Sri Layang, Taman Saga dan Taman Saga Indah.
“Terdapat peningkatan kes Covid-19 di kelima-lima lokaliti tersebut di mana 8 kes positif direkodkan di Taman Bukit Bendera, Taman Rimba (10), Taman Saga (tiga), Taman Saga Indah (dua) dan Taman Sri Layang (tujuh),” kata Ismail.
Beliau turut memaklumkan PKPD Kampung Pulutan, Nabawan, Sabah yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan bermula 22 Jun hingga 5 Julai susulan masih terdapat penularan dalam komuniti.
Dalam pada itu, PKPD Kampung Murni C, Nabawan, dua perkampungan di Kota Belud, Kampung Bergosong, Pulau Sebatik, Tawau, dan Kampung Ongkilan, Kota Marudu yang semuanya di Sabah dijadualkan tamat 20 Jun bermula 11.59 malam.
PKPD di Apartment Taman Permata, Sandakan, pula ditamatkan hari ini bermula 11.59 malam.
Di Pahang, PKPD di tiga lokaliti di Jaya Gading, Kuantan, melibatkan Kampung Jaya Gading, sebahagian Kampung Seri Damai dan Bandar Baru Jaya Gading serta Kawasan Perindustrian Gebeng, turut ditamatkan esok pada waktu sama.
Ismail turut memaklumkan, semalam polis menahan 852 individu atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 821 dikompaun dan 31 direman.
“Antara kesalahan direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka, gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis, tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan, dan bawa penumpang berlebihan,” katanya.