Hanya Anwar mampu tunai janji selesai MA63, kata PKR Sabah

Hanya Anwar mampu tunai janji selesai MA63, kata PKR Sabah

Ketua Penerangan PKR Sabah berkata janji desentralisasi kuasa kepada Sabah dan Sarawak harus ditunaikan bagi membolehkan rakyat negeri itu memimpin kerajaan negeri dengan lebih baik.

Chrisnadia Sinam berkata janji desentralisasi kuasa kepada Sabah dan Sarawak harus ditunaikan.
KOTA KINABALU:
Ketua Penerangan PKR Sabah, Chrisnadia Sinam, berkata hanya presiden parti itu, Anwar Ibrahim yang mampu mengotakan janji untuk menyelesaikan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) jika beliau diangkat sebagai Perdana Menteri kelak.

Katanya, janji untuk menyelesaikan MA63 telah dilaung-laungkan oleh kerajaan PN dalam pilihan raya negeri lalu namun sehingga kini tiada usaha menunaikannya.

“Janji desentralisasi kuasa kepada Sabah dan Sarawak harus ditunaikan bagi membolehkan rakyat Sabah dan Sarawak memimpin kerajaan negeri dengan lebih baik.

“Kita imbas janji kita sebelum kita menang PRU14 lalu dan manifesto yang meyakinkan rakyat untuk memilih kita, terutamanya MA63 yang mana ianya belum selesai disempunakan dahulu.

“Kita yakin ia akan terlaksana dengan keupayaan presiden (Anwar) memimpin negara kita kelak akan mengotakan janji ini kepada rakyat Sabah dan Sarawak. Ia merupakan kepercayaan ke atas perjuangan rakyat sabah kepada parti ini,” katanya.

Beliau yang mewakili PKR Sabah sebagai pembahas berkata demikian ketika berucap mengusulkan ucapan dasar Presiden PKR sempena kongres tahunan ke-15 parti itu yang diadakan secara maya, hari ini.

Sementara itu, Chrisnadia berkata, PKR Sabah akan terus memberi komitmen terhadap usaha penjajaran baru yang dilakukan oleh kepimpinan pusat.

Katanya, keterbukaan parti untuk menjalankan kerjasama sama ada parti tempatan dan nasional perlu diperhalusi dan mengambil kira suara keramat rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.