Parlimen perlu bersidang sebaik darurat tamat, elak krisis perlembagaan, kata MCA

Parlimen perlu bersidang sebaik darurat tamat, elak krisis perlembagaan, kata MCA

Ketua Biro Kempen Masyarakat Sivik MCA Kebangsaan, Ng Kian Nam, berkata oleh kerana sidang Parlimen terakhir diadakan pada 17 Disember tahun lalu, sidang selanjutnya perlu diadakan sebaik tempoh darurat berhenti berkuatkuasa.

Peguam yang juga Ketua Biro Kempen Masyarakat Sivik MCA Kebangsaan, Ng Kian Nam, berkata sidang Parlimen penting untuk mempertahankan prinsip Raja Berperlembagaan dan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Parlimen perlu bersidang segera sebaik tempoh darurat berakhir 1 Ogos ini bagi mengelak berlaku sebarang krisis keperlembagaan.

Ketua Biro Kempen Masyarakat Sivik MCA Kebangsaan, Ng Kian Nam berkata, oleh kerana sidang Parlimen terakhir diadakan pada 17 Disember tahun lalu, sidang Parlimen selanjutnya perlu diadakan sebaik sahaja tempoh darurat berhenti berkuat kuasa.

“Panggilan sidang Parlimen dalam masa tersingkat ini adalah penting untuk mempertahankan prinsip Raja Berperlembagaan yang dipegang oleh negara kita selama ini, termasuk sebagai penghormatan kepada titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu kebelakangan ini untuk segerakan mesyuarat Parlimen,” katanya dalam kenyataan.

Ng yang juga pengamal undang-undang berkata, Malaysia kini berada bawah krisis kesihatan yang paling ketara dan mencabar selepas kemerdekaan dengan merebaknya wabak Covid-19 secara meluas sehingga di luar kawalan.

Beliau turut menekankan, pembentukan jawatankuasa dengan wakil kerajaan dan pembangkang juga dikhuatiri tidak sah bawah Perlembagaan Persekutuan.

Ng berpendapat, status undang-undang, keesahan atau keperluan jawatankuasa amat dikhuatiri kerana fungsi dan keperluannya langsung tidak diperuntukkan dalam mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan sedia ada.

“Ini kerana Perkara 14, Ordinan Darurat 2021 memberikan kuasa pemanggilan persidangan Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh darurat ini.

“Manakala selepas tamatnya tempoh darurat, Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan pula mensyaratkan setiap persidangan Parlimen selanjutnya mesti dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong bawah nasihat perdana menteri dalam suatu tempoh yang tidak lebih dari enam bulan dari persidangan lepas,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan peruntukan Perkara 14 Ordinan Darurat di atas, syarat ketat bawah Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan untuk mengadakan setiap persidangan Parlimen tidak lebih dari jarak enam bulan berkenaan hanya “tidak mempunyai kesan” dalam tempoh darurat, bukan “digantungkan”.

Terdahulu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, sebuah jawatankuasa dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang akan dibentuk untuk meneliti aspek penting sebelum persidangan Parlimen diadakan.

Muhyiddin berkata, beliau memberikan komitmen bahawa keputusan pembukaan persidangan Parlimen akan diputuskan oleh kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang dalam jawatankuasa berkenaan.

Ng berkata, adalah penting pelbagai rancangan yang dilaksanakan kerajaan persekutuan pada masa kini dibentangkan, dipantau dan dibahas oleh Ahli Parlimen untuk memastikan polisi berkenaan adalah benar-benar telus, adil dan munasabah.

“Paling penting ia selaras hasrat dan kepentingan rakyat bersama, termasuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan Pelan Pemulihan Negara yang bakal menentukan ‘survival’ semua rakyat kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.