‘Tiada duit, tiada makanan’, NGO dedah keadaan penduduk PPR dalam kesempitan

‘Tiada duit, tiada makanan’, NGO dedah keadaan penduduk PPR dalam kesempitan

Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dikatakan kini hanya bergantung kepada gaji harian akibat hilang punca pendapatan sejak PKP 3.0.

Sebilangan besar penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur dikatakan hilang punca pendapatan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.
PETALING JAYA:
Hilang punca pendapatan, tiada wang dan makanan, demikian realiti yang dihadapi sebilangan besar penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Kuala Lumpur, menurut aktivis.

Pengasas bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), WeListenMY, Hamira Izzatie Sabarin, pihaknya mendapat aduan daripada ketua penduduk sebuah PPR yang memberitahu sebilangan besar penghuni hilang punca pendapatan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.

“Ada ketua penduduk PPR kawasan KL hubungi dan maklum yang dari 1,800 penduduk PPR itu hampir 1,000 keluarga hilang punca pendapatan akibat PKP 3.0.

“Sebab semua bergaji harian…tercengang sekejap dengar. Tak ada duit, tak ada makanan…Macam mana mereka bertahan?” katanya dalam catatan tular di Twitter.

Ketika dihubungi FMT Hamira berkata, selain masalah dana, antara isu yang dibimbangi adalah untuk memastikan tiada keluarga yang berlapar dan berada dalam tekanan susulan kesempitan hidup.

“Memang kami tak cukup dana nak bantu semua, tapi selagi mampu, kami akan tolong…ini baru satu PPR. Berapa banyak PPR yang kita ada?” katanya.

Tambahnya lagi, selain NGO, masyarakat sekeliling juga perlu lebih peka dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku seperti kes bunuh diri yang berpunca daripada tekanan hidup.

“NGO semua kena bersepakat dan bersatu untuk menolong apa yang kita mampu. Kita semua kena main peranan…kena telefon sesama kita untuk pastikan tiada rakan atau jiran yang terkesan mengakibatkan mereka pilih jalan singkat,” katanya.

Hamira berharap agar kerajaan menyegerakan bantuan yang dijanjikan sekiranya tidak mahu keadaan rakyat bertambah parah.

Menurut laporan bertajuk “Families on the Edge” yang dikeluarkan oleh UNICEF Malaysia, kadar kemiskinan isi rumah di flat kos rendah di Kuala Lumpur meningkat 3% daripada 42% pada Disember 2020 kepada 45% pada Mac 2021.

Keadaan lebih parah buat isi rumah yang diketuai oleh wanita dan orang kurang upaya. Kadar kemiskinan dalam kumpulan ini masing-masing berada di paras 62% dan 55%.

Sesebuah isi rumah dianggap berada dalam kategori miskin apabila pendapatan bulanan isi rumah tersebut berada di bawah garis pendapatan kemiskinan, iaitu RM2,216 sebulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.